Powered By Blogger

Thursday, 21 May 2015

WANITA

GIRL





Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga, tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena. 


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan. 


Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. 


Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya. 


Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci. 


Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa. 


Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. 


Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya. 


Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. 


Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. 


Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama. 


Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.



Wallahu`alam

AKU DAN WAKTU






Selalu ada beza di antara mimpi dan pencapaian atas sesuatu perkara...



Ada lubang waktu yang tercipta di antara sebab dan munculnya akibat. Dan di antara segalanya itulah, ada banyak perkara yang dapat kita dengar, lihat dan rasakan. 



Ada banyak rasa disana... gembira, bahagia, takut, sedih dan mungkin kehampaan....



Pada akhirnya, setiap manusia mempunyai tempat pelarian yang sama, iaitu Allah swt yang Maha Mulia...



Dan disini, saya hanya belajar untuk mengungkapkan rasa-rasa itu. Belajar membahasakannya dan tidak sekadar memainkan jari diatas papan kekunci...



Inilah cara saya menghubungkan setiap ruang dan lubang waktu yang ada. Inilah wujud lain dari usaha saya dalam merentasi mimpi, doa dan peristiwa...




Wallahu`alam

Wednesday, 20 May 2015

UJIAN DAN HALANGAN





Aku mahu sentiasa mencintai, meratapi , menangisi sebuah kehidupan yang pasti ada kesudahan...


Hatiku yang sentiasa di lewati duka dan nestapa, rindu dan bahagia telah meragut segenap jiwaku untuk menanti-Nya...


Kadar sebuah duka yang tidak tertanggung dibayar tunai oleh kasih yang menggunung...


Kudus kasih ini pasti di meterai perpisahan yang hakiki, namun, kukuh cinta ini bertemu Kasih pasti...


Aku tidak akan tega lagi melatah dan meraung sakitnya melukakan segenap jiwa...


Aku akan terus meredah laut duka dan bahagia ini demi cinta-Nya, walau badai lautan menghentam aku karam...


aku lemas...


Namun teguh hati ini tidak meranapkan kecewa kesakitan...


Aku tetap menanti dan menadah cinta-Nya, walau setitik jiwaku hitam kelam...


Jurai air mata ini tidak dapat aku tahan, umpama hujan meratap pilu dosa yang aku lakukan...


Ya Robb...ampunkanlah dan maafkanlah diri hamba Mu yang penuh dosa ini...



Wallahu`alam

Tuesday, 19 May 2015

DIA TETAP SEORANG HAWA





Dia tetap seorang hawa...



Dan seorang hawa masih memerlukan seorang adam untuk membimbingnya. tapi bagaimana? si lelaki berfikir sejenak...



Pada pandangannya wanita itu perlu dihormati, bukan sekadar disayangi. hormat itu daripada akal. Sayang itu daripada perasaan. Akal akan sentiasa rasional dan kembali meletakkan sesuatu pada hakikat, pada kebenaran. 
Perasan pula selalu berubah-ubah malah kadang-kala terdorong nafsu.

Dengan menghormati wanita, seorang lelaki telah meletakkan wanita pada satu tahap yang tinggi, yang disarankan oleh Islam. Menyayangi wanita itu pula lebih banyak mudarat dari kebaikan.

Lihatlah anak muda sekarang, mudah benar menghamburkan kata sayang antara lelaki dan perempuan. Lelaki berbangga dapat memiliki seorang perempuan, dan seorang perempuan pula bangga dirinya dimiliki oleh seorang lelaki...

Rendahkah martabat dan maruah wanita sehingga begitu mudah dijinakkan hanya dengan rupa, harta dan kata-kata manis?

Rendahkah nilai wanita jika hanya dimiliki untuk dijadikan lambang kemegahan...?

Tidak. wanita itu mulia. Wanita ada harganya yang tersendiri dan dengan menghormati wanita, harga wanita akan kembali mahal, baik di sisi manusia atau Ilahi...


Sesungguhnya kita adalah makhluk yang hebat dan dengan itu kita penuh sedar bahawa menjadi hebat itu perlu pikul tanggungjawab berat....



Wallahu`alam

Thursday, 14 May 2015

AKU HIDUP BAHAGIA

TUJUH RAMUAN UNTUK AKU HIDUP BAHAGIA





Ramuan Pertama...

Aku yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa sahaja ketentuan Allah ke atas diriku. Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku. Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik...



Ramuan Kedua...

Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana dan tiada siapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya...



Ramuan Ketiga...

Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan didalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Dengan itu aku tidak di himpit kerisauan dan keluh kesah...



Ramuan Keempat...

Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih...? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan, kerisauan dan keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tidak lena, makan tiada selera dan ibadah tidak bahagia...



Ramuan Kelima...

Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang. Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini Bukankah pepatah ada menyebut, ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya’.



Ramuan Keenam...

Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah saw pernah berdoa, “ Wahai Robb-ku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami”

Ramuan Ketujuh...

Dan yang akhir, sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.

Sekadar pesan buat saudara semuslim...

Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah, Allah akan memeliharanya. Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya, sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba. Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik. Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa dan tiada permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim...



Wallahu`alam

Friday, 20 March 2015

4 IMAM 4 JEMAAH



Syeikh al-Qadhi Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Lawati (704 – 779H / 1304 – 1377M) atau terkenal dengan gelaran Ibnu Battutah rahimahullah dalam catatan perjalanan beliau yang dikenali dengan “Rehlah Ibn Battutah” atau jodol sebenarnya “Tuhfah an-Nuzzar fi ghara`ib al-amsar wa `aja`ib al-asfar” yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Syed Nurul Akla dan Dr. Adi Setia dengan jodol “Pengembaraan Ibn Battutah”, pada halaman 183 – 184 di bawah subtopik “Adat yang diamalkan oleh penduduk Mekah dalam solat dan kedudukan Imam-Imam Mazhab” dinyatakan, antara lain:-


Berbanding dengan 3 orang imam yang lain, imam Mazhab Syafi`e diberikan penghormatan untuk memulakan solat di Maqam yang mulia, iaitu Maqam al-Khalil Ibrahim AS dan di Hatim yang cantik serta khusus untuk beliau. Inilah antara adat dan kebiasaan penduduk Mekah. Imam Mazhab Syafi`e ini dilantik oleh pihak pemerintah. Kebanyakan penduduk Mekah berpegang pada mazhab ini. …………


Apabila imam Mazhab Syafi`e selesai menunaikan solat, imam Mazhab Maliki pula menunaikan solat di sebuah mihrab yang menghala ke Rukun al-Yamani. Imam Mazhab Hambali juga akan mendirikan solat pada waktu yang sama di satu tempat yang menghala ke sebahagian daripada dinding Kaabah, iaitu di antara Hajar al-Aswad dengan Rukun al-Yamani.


Akhir sekali, imam Mazhab Hanafi pula menunaikan solat di satu tempat berhadapan dengan pancuran (mizab), iaitu di bawah satu ruang berpagar yang disediakan untuknya. Lilin akan diletakkan di hadapan imam-imam ini di mihrab mereka semasa mendirikan Solat Subuh, Zuhur, Asar dan Isyak.


Semasa Solat Maghrib, mereka akan bersembahyang serentak dan setiap imam akan bersembahyang dengan pengikut-pengikutnya. Akibatnya, orang ramai menjadi keliru. Adakalanya seseorang yang bermazhab Maliki akan rukuk bersama-sama dengan imam Mazhab Syafi`e dan seseorang yang bermazhab Hanafi pula menurut sujud pengikut Mazhab Hambali. Kamu dapat melihat mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada suara muazzin yang memperdengarkan bacaan kepada pengikutnya supaya mereka tidak lalai dan membuat kesilapan.


Begitulah keadaan solat di Masjidil Haram yang disaksikan oleh Ibnu Battutah yang hidup pada kurun yang ke-8H. Keadaan tersebut berterusan ratusan tahun lagi sehinggalah kejatuhan Kekhalifahan Utmaniyyah Turki dan Hijaz dijajah oleh puak Wahabi dari Nejd.


Kenapa umat Islam pada masa tersebut dan ratusan tahun setelahnya, tidak bersolat di bawah seorang imam dalam Masjidil Haram yang mulia. Adakah kerana mereka tidak bersatu dan kerana mereka terlalu taksub dengan mazhab masing-masing? Sesungguhnya tidak, tetapi kerana mereka tidak bersikap taksub dan fanatik dengan mazhab masing-masinglah maka perkara tersebut terjadi. Ini jelas kerana setiap mazhab tidak saling menyalahkan antara sesama mereka, mereka saling hormat menghormati pendapat pihak lain selagimana ia berdasarkan kepada ijtihad yang diterima dan mereka tidak ingin hendak memaksa mazhab mereka kepada orang lain. Dan hal ini terjadi di Masjidil Haram kerana ia adalah milik umat Islam keseluruhannya, Tanah Haram bukan milik pengikut Mazhab Syafi`e, walaupun mazhab ini adalah mazhab yang paling dominan di Hijaz. Maka atas adab dan tasamuh yang tinggi, para penguasa Hijaz yang bermazhab Syafi`e tidak memaksa mazhab mereka kepada pengikut mazhab lain, sebaliknya setiap mazhab Ahlu Sunnah wal Jamaah diberi ruang untuk beribadah dalam Masjidil Haram mengikut pandangan dan pegangan mazhab masing-masing.


Patutkah kita memaksa para pengikut Hanafi untuk sembahyang Asar bersama dengan kita sedangkan menurut mazhab mereka waktu Asar masih belum masuk lagi? Sudah tentu tidak patut dan tidak adil bagi mereka. Yang patut dan wajar, kita biarkan mereka menunaikan solat Asar setelah masuk waktunya di sisi mereka. Sungguh keberadaan solat 4 Imam dengan jemaah masing-masing tersebut membuktikan sikap tasamuh dan toleransi sesama umat yang tinggi. Malangnya, segelintir dari kita telah silap kerana beranggapan bahawa ia sebagai tanda ummah berpecah belah.


Apakah benar ketika itu umat Islam menjadi berpecah-belah? Jawapannya adalah sebaliknya, kerana sejarah telah membuktikan bahawa ketika itu, umat Islam adalah umat yang bersatu dan kuat sehingga menguasai dunia.
Lain pula halnya sekarang ini, walaupun umat Islam bersolat di Masjidil Haram di bawah seorang imam sahaja yang pada zahirnya nampak bersatu tetapi hati-hati mereka telah berpecah belah dengan saling salah menyalah sesama umat. Kesatuan dan perpaduan itu berakhir dengan salamnya imam… Allahu … Allah. Oleh itu, kekuatan umat Islam adalah pada kepelbagaian pendapat yang ditangani dengan sikap tasamuh yang tinggi serta saling hormat-menghormati. Di situlah kunci perpaduan yang sejati.


Ketahuilah bahawa Masjidil Haram itu milik seluruh umat. Mungkin sekarang sudah tidak praktikal untuk solat dengan 4 jemaah berasingan sebagaimana zaman tersebut kerana bilangan pengunjung masjid yang bertambah. Moga umat Islam hari ini akan menjadi lebih bertasamuh dalam perkara-perkara khilafiyyah. Mudah-mudahan keagungan Islam dan umatnya dikembalikan dan Islam terus menerajui manusia sejagat …. Wallahu`alam. 

Jagalah Hati...

DAKWAH ADALAH CINTA


Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?


Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”


Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.


Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.


Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Pendakwah Akal Faqih.


Bagi kita yang berperanan sebagai Pendakwah, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi saw untuk para Pendakwah.


Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda saw menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi,  “Seek First  to Understand, Then to be Understood“.


Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.


Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Pendakwah tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.


Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar, iaitu masalah sikap dan akhlak.


Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadis kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadis.


Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”


Seorang Pendakwah yang berjiwa Pendakwah akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa.


Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?



Jagalah Hati....