Powered By Blogger

Wednesday, 16 March 2016

Ramadhan oh Ramadhan

Sama ada ditunggu atau tidak Ramadhan pasti datang dan pergi. Beruntunglah orang yg tidak sabar2 dan bersedia menunggu kedatangan Ramadhan.

Rugilah orang yang tidak suka dan tidak bersedia dengan kedatangan Ramadhan.
Beruntunglah orang yang mengambil manfaat semasa berada dalam bulan Ramadhan.
Rugilah orang yang membiarkan Ramadhan berlalu begitu saja, yang dapat hanya lapar dan dahaga walau berbuka dengan berbagai juadah pemuas nafsu selera.
Beruntunglah orang yang mencari dan mendapat Lailatul Qadar yang menyamai 1000 bulan.

Rugilah orang yang menghabiskan 10 malam terakhir Ramadhan sibuk dgn persediaan hari raya, bukannya beriktikaf di masjid sehingga ke akhir malam.
Adakah Ramadhan kita tahun ini lebih baik daripada sebelumnya???
Renung-renungkan….

Saturday, 5 March 2016

Tidak sedar kekurangan diri



Diriwayatkan bahawa Imam Sahnun bin Said rahimahullah (wafat 240 hijrah) pernah berkata ;
أجسر الناس على الفتيا أقلهم علما، يكون عند الرجل الباب الواحد من العلم فيظن أن الحق كله فيه

"Orang yang paling berani berfatwa adalah yang orang paling sedikit ilmunya. Boleh jadi seseorang itu memiliki ilmu tentang satu bab sahaja, namun dia menyangka bahawa seluruh kebenaran itu telah ada pada dirinya."

[ I'lam Al-Muwaqqi'in 'an Rabb Al-Alamin, Ibn Qayyim]

#Jika kita sudi bermuhasabah maka sudah tentu kita akan perasan bahawa kita mungkin pernah terlibat dengan perbuatan yang disebutkan oleh Imam Sahnun rahimahullah...

Mengharap pahala dari dakwah



Diriwayatkan bahawa Abu Darda RA pernah berkata ;
إني لآمركم بالخير، وما كل ما أمرتكم به فعلته؛ ولكني أرجو الأجر بأمركم
 
'Sesungguhnya aku menyuruh kamu dengan perkara kebaikan. Namun itu tidaklah bermakna bahawa semua yang aku perintahkan kepada kamu telah aku lakukan, akan tetapi aku mengharapkan pahala dengan menyuruh kamu melakukannya.'

[Riwayat Ibn Abi Syaibah]

# Kita tak perlu sempurna untuk menyeru manusia kepada Allah, cukup sedar diri yang kita menyeru demi mengharap rahmat-Nya!

Tuesday, 1 March 2016

Hidup ini ialah sebuah perjalanan


Aku ingin menasihati anak-anak muda yang bergaduh soal jenama pakaian dan pemikiran yang ingin dipakainya. Ketahuilah perjalanan yang panjang pasti akan dapat menguji apakah baju dan pemikiran yang dipakai oleh kamu itu 'sesuai' dan 'mampu' untuk melindungi diri apabila sedang diuji oleh Allah swt.
Allah swt berfirman : Katakanlah: “ Berjalanlah di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah)." (Ar-Rum : 42)
Takala bala bencana menimpa kamu seperti kematian orang yang tersayang, kehilangan barang dan kerugian harta serta diuji dengan ketakutan dan kesusahan. Maka pada ketika itu ‘baju’ yang dipakai oleh kalian akan dapat diuji kebolehannya untuk melihat apakah ianya mampu memelihara kamu daripada kesakitan atau hanya sekadar menambah penderitaan.
Demikianlah pula ‘ aliran pemikiran’ yang dipakaikan ke otak dan dimasukkan ke dalam sistem kewarasan minda anda. Apakah ianya mampu membuatkan jiwa dan diri anda kebal dan mampu bertahan daripada segala macam kesengsaraan serta sekaligus menukar kegagalan kepada kejayaan.
Aqidah yang benar ialah aqidah yang positif.
Aqidah yang mampu membuatkan kamu tahan lasak ketika diuji. Aqidah yang membuatkan kamu redha ketika kehilangan harta, tabah sewaktu menderita dan mampu menerima dan beriman kepada takdir apabila menghadapi kematian insan yang tercinta.
Aqidah yang sahih itu ialah aqidah yang menguatkan peribadi dan jasad kamu dengan kekuatan jiwa yang berupa sabar, syukur, redha dan amanah. Kamu masih mampu berterima kasih kepada Allah dan dapat mensyukuri nikmat-Nya walau di tengah-tengah kesibukkan dunia dan dilimpahi oleh nikmat serta diberikan rezeki yang seluas-luasnya di dunia.
Kamu masih berupaya untuk bersyukur kepada Allah Swt walau ditengah-tengah kesusahan atau ditengah-tengah kesenangan.
Aqidah yang sahih membuatkan kamu tidak lupa untuk tunduk dan sujud kepada Allah apabila tiba waktunya. Patuh kepada suruhannya dan berlaku lembut serta ehsan kepada hamba-hamba-Nya.
Itulah aqidah yang sahih yang membuatkan kamu sentiasa ingat dan takut kepada-Nya.
Aqidah yang mampu membawa manusia mengharungi segala ujian dan cabaran kehidupan di atas muka bumi. Itulah isi dan itulah inti pati ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
Islam bukan agama zahiri tetapi penuh hikmah dan kaya dengan rahsia kehidupan yang perlu diselesaikan sepanjang zaman dan akan menghuraikan hikmahnya menurut kesesuaian manusia yang pelbagai keadaan.
Aqidah Islam yang dibawa oleh rasulullah bukanlah mengajarkan fakta semata-mata dan itu bukanlah fungsi utama Nabi salallahualaihiwassalam membawa dakwah.
Ayat Al-quran banyak membawakan cerita berkenaan umat-umat terdahulu tetapi tiada suatu pun di dalamnya yang membawakan butiran fakta secara tepat berkenaan lokasi, waktu dan watak yang terlibat secara terperinci. Ini kerana fokusnya ialah pada hikmah dan pengajaran bukan kepada fakta dan butiran.
Teruskanlah berjalan kerana sejuk, panas dan kesusahan di dalam perjalanan pasti akan membuatkan kamu tersedar daripada lamunan dan angan-angan. Baju berjenama mahal yang dipakai baru kan teruji oleh kesukaran perjalanan.
Benarkah bajumu itu tahan ? benarkah bajumu itu tulen dan berkualiti seperti yang dijamin ?
Kelak kita akan melihat apakah duri-duri dan onak ranjau di jalan akan mampu mengoyakkan bajumu atau ianya masih tetap utuh dan teguh melindungimu.
Kita akan melihat bersama-sama.
Allah swt berfirman yang bermaksud : "Dan Katakanlah: "Beramal-lah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. " (At-Taubah : 105)
Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda denganMaksudnya: “Tidaklah menimpa Seorang muslim itu sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu akan dosa-dosanya.” (hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah pula dengan pemikiran yang engkau pakaikan kepada minda dan kotak kewarasan dirimu. Apakah ianya sebuah pemikiran yang bertahan dan bersifat kesempurnaan atau ianya hanyalah merupakan mainan syaitan yang dipenuhi dengan pelbagai kekaburan.
Ramai orang mendakwa aliran pemikirannya itu ialah yang paling benar. Ianya sunnah dan ianya Al-Jamaah serta terjamin daripada kesesatan. Dikhuatiri itu hanyalah dakwaan yang sangat dangkal dan dipenuhi oleh kekaburan dan kepalsuan.
Ramai orang mendakwa bahawa mereka dijamin oleh tuhan sedangkan Allah berlepas diri daripada mereka. Lihatlah perangai mereka apabila diuji, perhatikan sikap mereka ketika menerima tekanan dan penindasan.
Apakah kalimah dan ucapan yang terkeluar daripada lisan mereka ?
Adakah ianya ucapan kembali kepada Allah yang berbunyi “InnaLillahi Wa inna Ilahirajiu’un” ? Atau ianya perkataan manusia biasa yang menyebut :”Alamak,” “Ni Apa hal ni “? “Nak buat macam mana ni.” ?
Pemikiran yang sahih dan benar daripada Allah serta yang dikehendaki oleh Allah swt akan dapat membuatkan seseorang itu bersabar dan berlaku adil walau kepada musuh dan pihak yang lemah dan berada di bawah kekuasaan dan kemampuan kita.
Pemikiran yang sahih itulah juga akan membuatkan manusia tidak berputus asa, tidak menyerah kalah dan tidak mudah terpedaya oleh dunia.
Ianya adalah bukan sekadar pemikiran yang disusun oleh ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis rasulullah semata-mata tetapi turut mengandungi makna-makna dan khasiat daripada kedua-duanya serta mampu menjadi akar yang utuh dalam kehidupan manusia sebagai peneguh dan penguat yang mampu menjulangkan amal sehingga ke langit tinggi.
Allah swt berfirman : “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, Pohon itu memberikan buahnya pada Setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.” (Ibrahim : 24-26)
Itulah aqidah Islam dan itulah fahaman yang sahih daripada Al-Quran dan as-sunnah.
Ianya tidak memerlukan nama.
Bubuhlah ia dengan apa jenama baik wahabi, sufi mahupun salafi. Langsung semua penjenamaan ini tidak akan mempengaruhi apa-apa kepada peribadi yang jiwanya teguh dan utuh oleh khasiat daripada Al-Quran dan as-sunnah ini.
Nabi memanggil agama ini sebagai Islam, ad-dean, millah Ibrahim, al-hanif dan sirath al-mustaqim tetapi semuanya bersumber pada hakikat yang sama iaitu daripada Allah dan untuk membawa manusia kepada Allah Swt.
Panduannya tetap sama iaitu Al-Quran dan as-sunnah rasulullah.
Demikianlah manusia yang ada di atas muka bumi ini. Penilaian kita mungkin mengelarnya dengan pelbagai nama dan jenama tetapi di sisi Allah, cuma ada dua kelompok manusia sahaja iaitu apakah ahli syurga atau pun ahli neraka.
Wallahu’alam.

Wednesday, 10 February 2016

Colombia

Sungai 5 warna Cano Crystal, Colombia


Mari kita saksikan satu lagi keindahan alam ciptaan Illahi….. Subhanallah, Allahu Akbar!
Keindahan sungai lima warna atau Rio Cano Castales (the river of five colors) ini amat menakjubkan dengan warna-warna yang menarik yang hanya terjadi dalam tempoh yang singkat pada masa tertentu setiap tahun, apabila keadaannya sesuai.
Tempoh singkat ini berlaku di antara musim basah (musim hujan) dan musim kering apabila aras airnya sesuai bagi pertumbuhan spesies tumbuhan air yang dinamakan Macarenia clavigera yang bertukar menjadi warna merah. Warna merah ini dihiasi pula dengan warna pasir yang kuning dan hijau serta warna air sungai yang biru menjadikan sungai ini sangat berwarna-warni dan sangat menarik lebih-lebih lagi di bawah pantulan cahaya matahari.
Gambar-gambar menarik dipanjangkan di bawah ini…… Subhanallah!

Tuesday, 9 February 2016

20 Cara mudah meningkatkan daya ingatan

Umumnya daya ingatan atau kemahiran kognitif seseorang itu akan berkurangan secara beransur-ansur selepas umur 27 tahun. Namun begitu, beberapa usaha boleh dilakukan untuk melambatkan penurunan kognitif ini dan seterusnya dapat meningkatkan semula daya ingatan, di samping dapat menghindari penyakit Alzheimer dan nyanyuk yang lain.

working-memory
Pakar-pakar kognitif menggariskan beberapa kaedah bagi meningkatkan daya ingatan, iaitu dengan:
1. Senaman dan aktiviti fizikal (seperti berjalan, jogging, naik tangga bukan naik lift) secara rutin
Ini dapat menyihatkan jantung, kurang risiko obes dan diabetes kerana senaman ini dapat memperbaiki aliran darah ke otak dan menyebabkan kurangnya pengecutan otak.
2. Tukar rutin harian
Membuat rutin harian atau melihat perkara yang sama setiap hari menjadikan otak kita kurang berfungsi secara maksimum kerana tidak perlu berfikir. Ini menjadikan otak kurang aktif dan akan mempercepatkan lagi kemerosotan daya ingatan. Contohnya, tukar cat dinding atau wall paper, ikut jalan berlainan untuk pergi ke tempat biasa atau tempat kerja supaya otak lebih peka dan berfikir.
3. Tidur sekejap waktu siang
Kelebihan tidur sekejap waktu siang, sebaik-baiknya sebelum waktu zohor, sudah menjadi sunnah Rasulullah SAW sejak lebih daripada >1430 tahun yang lalu. Kini, kelebihan tidur sekejap waktu siang juga telah diakui oleh pakar kerana ia dapat mempercepatkan proses yang membantu otak menguat dan menyimpan ingatan bagi tempoh yang lama.
4. Minda fotograf
Ingatan diproses dan disimpan di kawasan berlainan dalam otak. Oleh itu, bagi membantu menguatkan ingatan, amalkan minda fotograf iaitu dengan cara tangkap gambar di minda menggunakan deria yang ada, seperti deria penglihatan (lihat dan ingat apa-apa yang anda lihat, perhatikan warna, tekstur, rupa bentuk yang unik, dsb. yang boleh mengingatkan anda sesuatu yang pernah dilihat.), deria bau (camkan bau-bau tertentu), deria rasa (camkan rasa tertentu) dan lain-lain.
Menggunakan minda fotograf ini dapat membantu anda mengingati sesuatu dalam tempoh yang lama.
5. Kurangkan makan
Kajian menunjukkan orang yang mengurangkan pengambilan kalori dalam makanan sebanyak 30% dapat skor ujian memori lebih baik 20% berbanding sebelumnya. Ini mungkin disebabkan oleh pengurangan tahap insulin dihasilkan kerana ia kurang diperlukan untuk memproses makanan yang berkurangan jumlahnya, dan juga pengurangan protein C-reaktif yang berkait dengan keradangan. Kedua-dua faktor ini dapat memperbaiki daya ingatan.
Kajian juga mendapati orang yang makan dengan diet Mediterranean iaitu makanan yang kaya dengan sayuran, kekacang, ikan dan minyak monotepu (seperti minyak zaitun), daging dan produk tenusu kurang lemak mempunyai risiko paling rendah menghadapi masalah kognitif dan penyakit Alzheimer.
6. Permainan latih otak
Permainan latih otak seperti soduko, silang kata, dan lain-lain, dapat membantu menguatkan daya ingatan dan melambatkan nyanyuk.
7. Layari internet
Beri masa bagi melayari internet dalam tempoh tertentu bagi melatih otak semasa mencari maklumat. Pakar neurologi yang bernama Gary Small (Pengarah di UCLA Memory & Aging Center, USA yang juga pengarang buku iBrain mengatakan bahawa melayari internet untuk mendapat sesuatu maklumat juga dianggap sebagai kursus latihan otak, terutamanya bagi orang-orang yang berumur antara 55 hingga 76 tahun. Ini dapat membantu mereka dalam membuat keputusan kerana maklumat yang banyak dalam minda/otak.
8. Berhenti sekejap untuk minum teh atau kopi
Teh hijau dan teh hitam memberi kesan perlindungan ke atas ingatan dengan cara mempengaruhi dan merangsang enzim di dalam otak supaya berfungsi. Kafein yang banyak dalam kopi pula meningkatkan konsentrasi. Namun begitu, jangan minum kafein secara berlebihan jika mahu mendapatkan manfaatnya, terutamanya bagi melambatkan fenomena nyanyuk pada hari tua.
9. Atasi depresi (kemurungan)
Depresi yang tidak dirawat boleh mengganggu memori/daya ingatan. Jika anda mengalami depresi, segera dapatkan nasihat dan rawatan doktor.
10. Amalkan multi-tasking (kerja pelbagai)
Multi-tasking atau kebolehan melakukan pelbagai kerja/tugas dalam satu masa boleh meningkatkan daya ingatan. Contohnya, dengar muzik atau radio sambil belajar. Dengan cara ini, ingatan boleh dikembalikan atau ditajamkan dengan mengingati sesuatu melodi tersebut. Jika tidak boleh membuat beberapa kerja dalam satu masa, anda perlulah belajar dan praktiskan.
11. Kawal tahap gula dalam darah
Kajiaan menunjukkan fungsi otak menjadi perlahan apabila tahap gula dalam darah naik. Ini kerana salur darah yang membekalkan darah ke otak rosak. Jika anda pengidap diabetes Type-2, tahap gula dalam darah perlu dikawal. Jika sekiranya anda bukan pesakit diabetes, berat badan yang normal perlu dijaga dengan mengamalkan diet seimbang dan kurangkan pengambilan gula dan karbohidrat bagi mengurangkan risiko mendapat diabetes.
12. Senaman mata
Gerakkan bola mata ke kiri dan ke kanan selama 30 saat sebagai senaman mata. Ini dapat membantu mencantumkan dua hemisfera otak. Apabila kedua-dua hemisfera otak dapat berkomunikasi dengan baik, maka sesetengah ingatan dapat dikembalikan atau dikeluarkan.
13. Makan sayuran hijau
Kekurangan folate dan vitamin B12 akan meninggikan risiko nyanyuk. Sayuran hijau pula merupakan sumber folate yang baik (contohnya, sayur salad, bayam, asparagus, parsley, brokoli, cauliflower (bunga kobis), beets dan sayur kacang) bagi mengurangkan nyanyuk. Selain itu, suplemen seperti vitamin C, gingko biloba, vitamin E dan kismis juga digalakkan.
14. Tangani apnea tidur
Orang yang mengalami apnea semasa tidur (iaitu keadaan yang melibatkan laluan udara tersumbat semasa tidur menyebabkan pernafasan terhenti sebentar) akan menyebabkan keadaan tisu di otak yang menyimpan memori akan merosot.
15. Belajar sesuatu yang baru
Dalam kehidupan seharian, banyak perkara atau aktiviti baru yang boleh dipelajari, selain daripada aktiviti yang biasa dilakukan secara rutin. Contohnya, permainan latihan minda yang baru, belajar bahasa baru, dan aktiviti-aktivi lain. Ini akan meningkatkan daya ingatan.
16. Berhenti merokok
Perokok mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit Alzheimer lebih awal daripada bukan perokok.
17. Makan coklat hitam
Coklat hitam yang mengandungi sebatian epicatechin memberi kesan peningkatan daya ingatan seseorang kerana ia membantu pembinaan salur darah. Makanan lain yang mengandungi epicatechin ialah blueberries, anggur dan teh.
18. Letak barang-barang pada tempatnya
Ingatan kita juga perlu kepada sesuatu kedudukan barang yang biasa bagi membolehkannya berfungsi dengan baik. Contohnya, letakkan kunci, cermin mata, payung, remote control atau sebagainya di tempat yang sama setiap masa, jangan selalu diubah-ubah sana sini. Jika selalu ubah barang-barang yang digunakan setiap hari, boleh memeningkan kepala untuk mencarinya, terutama sekali kalau hendak cepat. Jika tenang dan fikirkan semula urutan kejadian tanpa gopoh, otak mampu berfungsi mengingatinya.
Bagi memudahkan diri sendiri mengingati sesuatu perkara, temu janji atau peristiwa, buatlah nota peringatan.
19. Jangan bersara awal
Jika anda gembira dan merasai kepuasan dengan kerja yang dilakukan, janganlah bersara awal. Bekerja akan membantu mengekalkan daya ingatan dan tidak cepat menjadi pelupa atau nyanyuk. Jika bersara anda akan berhenti terus berfikir mengenai kerja kerana anda hanya lakukan kerja rutin yang tidak perlu menggunakan fikiran yang tajam, dan ini akan mempercepatkan lagi seseorang itu menjadi pelupa.
20. Majlis silaturrahim dengan rakan taulan
Mengadakan majlis perjumpaan, majlis ilmu dan bersilaturrahim sesama rakan-rakan dapat meningkatkan daya ingatan, terutamanya bagi warga emas dan mampu melambatkan risiko nyanyuk.

Thursday, 7 January 2016

Subhanallah! Hamilkan bayi hampir 50 tahun

Pelik tapi benar – Seorang nenek berumur 75 tahun mengandungkan bayi selama hampir 50 tahun


Ketika berumur 26 tahun, pada tahun 1955, Zahra Aboutalib telah dikejarkan ke hospital setelah mengalami kesakitan selama 48 jam untuk bersalin. Doktor ingin menjalankan pembedahan untuk mengeluarkan bayi ini tetapi Zahra terlalu takut dan sanggup lagi menahan kesakitan sehingga beberapa hari. Setelah beberapa hari, tiba-tiba sakit untuk bersalin berhenti dan dia percaya bayi ini akan lahir kemudian tetapi ini tidak terjadi, bayi itu tidak juga lahir-lahir.
Pada umur 75 tahun, tiba-tiba Zahra terasa sakit perut macam hendak bersalin dan dia telah membuat pemeriksaan doktor dan rahimnya telah discan. Alangkah terkejutnya apabila terdapat seketul benda berbentuk bayi yang dibaluti oleh cangkerang yang agak keras (macam mumi) di rahimnya. Ini bermakna, Zahra telah mengandungkan bayi ini hampir 50 tahun lamanya. Kandungan ini telah membesar di luar rahim dan telahpun bersatu dengan organ dalaman Zahra. Secara fisiologinya, bagi melindungi tubuhnya daripada jangkitan penyakit bawaan daripada bendasing dalam badannya, badannya telah bertindak membina lapisan cangkerang yang membaluti bayi yang tidak pernah dilahirkan ini.
Akhirnya pembedahan ke atas Zahra dilakukan bagi mengeluarkan bayi dalam bentuk mumi ini. Itulah kekuasaan Allah, Dia berbuat apa yang disukai-Nya. Wallahu a’lam.