Powered By Blogger

Monday 26 May 2014

ISRA' MIKRAJ

MENGHAYATI MANHAJ NABAWI



Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Bahkan memang hidup kita ini hakikatnya adalah suatu medan ujian besar. Ia seperti dinyatakan dalam al-Quran yang maksud-Nya, “Dialah Robb yang mencipta hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya” (QS al-Mulk: 2)

Oleh sebab itu, cabaran dalam bentuk pelbagai masalah dan krisis akan terpaksa dihadapi meskipun oleh seorang hamba Allah dan masyarakat yang soleh dan baik agamanya.

Pada masa yang sama, kita diajar oleh ulama bahawa setiap musibah dan masalah yang menimpa harus menjadi ruang untuk kita bermuhasabah diri. Memeriksa dan meneliti kalau-kalau masalah yang muncul adalah akibat kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Kebelakangan ini ketenangan dan ketenteraman kita agak terganggu dengan pelbagai isu yang lazimnya tidak wajar menjadi terlalu besar dalam sebuah masyarakat beragama dan maju seperti kita. Isu-isu yang kita maksudkan adalah bermacam-macam gejala sosial dan jenayah, di samping suhu pertembungan politik yang panasnya melebihi tahap biasa.

Walaupun kita redha menerima semua ini sebagai ujian Ilahi, kita juga patut menganggap semua ini sebagai isyarat untuk menilai semula keberkesanan, ketepatan pendekatan dakwah dan tarbiah keagamaan yang dihayati dalam masyarakat.

Melihat tahap gejala sosial dan moral dalam negara kita, mungkin ada yang belum tepat dan perlu dipertingkatkan dalam pendekatan Islamisasi kita.

Kita tahu bahawa Islam sebagai agama dan cara hidup seharusnya sangat berkesan untuk membentuk generasi dan masyarakat yang perkasa. Jika silapnya bukan pada Islam, maka mungkin kurangnya adalah kegagalan kita sendiri menepati acuan dan manhaj (pendekatan) sebenar yang pernah diamalkan oleh generasi Salaf dan Khalaf yang terbukti berjaya.

Sirah dan sejarah dipenuhi dengan catatan kejayaan risalah Islam dalam merubah kejahilan kepada ilmu, kasar kepada sopan, khianat kepada amanah dan seumpamanya. Apabila Islam difahami dan dihayati bertepatan dengan acuan dan manhajnya yang murni.

Hakikatnya, acuan dan pendekatan sebenar risalah Islam mempunyai ciri-ciri khusus yang mesti dipenuhi jika kita ingin menghasilkan citra keagamaan yang bertenaga, bersemangat dan segar-menawan bukannya yang kasar, kering-gersang ataupun lesu. Ciri-ciri khusus manhaj Nabawi inilah yang harus kita temukan, teliti dan hayati semula.

Antara ciri utama citra keagamaan Nabawi adalah nilai rahmat, kasih sayang dan cinta. Dalam manhaj Nabawi Muhammadi saw, sifat rahmat dan cintalah yang ditekankan dan diutamakan dalam hubungan antara Allah swt dan makhluk, antara Rasulullah saw dan umat, antara sesama Islam dan juga sesama insan.

Dalam hadis yang sangat masyhur, Rasulullah saw bersabda, “Orang-orang yang kasih-mengasihi akan dikasihi oleh Robb  yang Maha Pengasih, kasihilah penduduk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh penduduk langit” (riwayat al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi)

Hadis ini amat diberi perhatian oleh para ulama. Sehingga sebahagian mereka membiasakan membacanya sebagai hadis pertama yang mereka baca secara musalsal dalam mana-mana majlis pengajian sehingga hadis ini dikenali sebagai hadis Musalsal bil Awwaliyyah (Musalsal Permulaan).

Menurut Imam al-’Iraqi, hadis ini diutamakan dari hadis-hadis lain dalam periwayatan hadis bagi para penuntut ilmu untuk mengajar. Juga memberitahu mereka bahawa ilmu itu terbina di atas sifat kasih sayang dan saling menyayangi, bukannya di atas permusuhan, pertengkaran dan pertelagahan.



Islam merupakan agama berkasih sayang. Bukannya agama yang kasar dan gersang dari kasih sayang terutamanya di antara Allah dan hamba-Nya. Hubungan di antara Allah dan orang-orang Islam bukanlah hubungan kepatuhan atau ketaatan kepada kehendak Allah semata-mata dan secara paksaan tetapi lebih kepada hubungan kasih dan cinta yang suci.

Inilah yang tergambar dalam firman Allah swt, “Tanyalah (wahai Muhammad saw), milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat” (QS al-An’aam: 12)

Bahkan, semboyan Ilahi yang tertulis di atas Arasy-Nya berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku (azabKu). (Sahih al Bukhari, Kitab Bad’ al Khalq, dan Kitab Tauhid)

Di ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling menyayangi”. (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani).

“Kasihilah orang lain, nescaya kamu akan dikasihi, maafkanlah orang lain nescaya kamu akan dimaafkan”. (Sheikh Muhammad Abdul Baqi al Laknawi).

Tidak sekadar itu, penekanan atau keutamaan aspek kasih sayang sebagai suatu keutamaan dalam Islam juga dapat dilihat dalam pelbagai suruhan-Nya yang lain.

Di antaranya, Islam menyuruh memulakan setiap amal yang baik dengan bacaan Basmalah iaitu dengan nama Allah, al-Rahman dan al-Rahim bagi mengajar umat manusia supaya mengutamakan sifat kasih sayang dalam setiap perkara, selain daripada untuk meraih keberkatan.

Apa yang wajar dikesali, tanpa disedari, citra Islam yang kita garapkan hari ini, sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, polisi, slogan atau motto tampak gersang daripada rahmat dan kasih sayang. Sehingga akhirnya ia menjadi suatu yang asing dan jauh daripada hati-hati manusia.

Akibatnya, ikatan ketaatan dan kepatuhan sekadar berlegar di tahap akal dan faham tanpa sampai dirasai hangat, segar dan manis di dalam hati dan perasaan.

KeIslaman dan perasaan beragama di tahap ini sudah pasti tidak akan cukup kukuh untuk menghadapi pelbagai serangan musuh-musuh iman, zahir dan batin.

Akhirnya, walaupun tidak sedikit wang ringgit dan masa kita habiskan, pelbagai dasar dan program yang kita gagaskan, kita masih seolah gagal menandingi arus syaitan yang hakikatnya lebih lemah daripada arus iman seperti yang disebut dalam firman Allah swt, “Sesungguhnya tipu-daya syaitan itu adalah lemah” (QS al-Nisa’: 76)

Sebaliknya kita pula yang merasa lemah berhadapan dengan arus syaitan dalam kehidupan serba moden ini.

Atas kesedaran itulah, kita harus menilai secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh manhaj dan acuan pendekatan keagamaan yang kita hayati dan kemukakan kepada masyarakat.

Antara kepincangan dalam pendekatan keagamaan kita adalah kurangnya keseimbangan dan penekanan terhadap aspek tasawuf dan kerohanian. Sedangkan ia jelas merupakan satu daripada sendi agama seperti yang zahir dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

Para ulama dalam tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah sentiasa mengutamakan keseimbangan penggarapan tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan yang terjelma dalam munculnya secara saksama tiga cabang disiplin ilmu agama iaitu Akidah-Tauhid, Syariah-Fiqh dan Akhlak-Tasawuf.

Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu dihayati secara bersama dan saksama. Barulah akan muncul generasi ulama dan umat yang murni pegangan akidahnya, teguh penguasaan hukumnya serta tinggi makam rohaninya.

Satu lagi di antara ciri utama pendekatan dakwah dan tarbiah para ulama muktabar ialah menyuburkan perasaan cinta dan kasih umat terhadap Nabi Muhammad saw.

Para ulama sangat menyedari bahawa peranan dan keutamaan Rasulullah saw tidak hanya terhenti setakat penyampai wahyu daripada Allah swt kepada manusia.

Lebih daripada itu, Nabi saw adalah pintu dan jalan utama sepanjang zaman untuk sekalian umat agar mereka benar-benar dapat menghayati dan mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh wahyu Ilahi tersebut.

Oleh itu Rasulullah saw perlu benar-benar sentiasa didekati, diingati, dikasihi dan dicintai. Rasulullah saw sendiri telah menegaskan hal ini melalui sabda Baginda saw “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anak dan bapanya serta manusia seluruhnya” (al-Bukhari, Muslim dan al-Nasai)

Keterampilan Rasulullah saw sebagai Rahmatan Muhdatan (Rahmat Kurniaan Ilahi) perlu diteladani dengan cermat dan diaplikasikan. Sebabnya, inilah modal utama terciptanya kejayaan yang gemilang dan kebahagiaan yang hakiki umat Islam di dunia dan akhirat.

Hari ini kita melihat manhaj Nabawi dalam menghayati Islam seperti yang difahami zaman berzaman oleh para ulama banyak dilupakan. Lebih malang lagi, ada pula yang mentohmah pendekatan para ulama bagi menghidupkan manhaj Nabawi ini sebagai bidaah dan sesat yang menimbulkan gejala perpecahan di kalangan umat Islam.

Pada masa yang sama pendekatan-pendekatan yang jauh lebih rendah mutunya pula diberi keutamaan yang akhirnya gagal membuahkan hasil yang diinginkan.

Akhirnya, kita menyaksikan Al Quran diraikan tetapi Ilahi ditinggalkan, Sunnah dislogankan tetapi Rasulullah saw dilupakan, Islam hendak ditegakkan tetapi para ulama di remehkan.

Jika itu yang berlaku, mana mungkin akan terhasil masyarakat dan individu Muslim yang salim-sejahtera yang di ingin-inginkan dan kita akan tetap gagal mencari formula berkesan bagi mengharungi pelbagai cabaran duniawi yang terpaksa dihadapi. Wallahu`alam.



Jagalah Hati…

DOA DARI SEORANG IBU




Ya Allah,


Engkau mengetahui hati-hati ini


telah ditemukan atas kudrat dan iradat Mu


saling mengasihi untuk mematuhi perintah Mu,


bersatu kerana takdir Mu,


hati-hati ini yang tunduk mendokong syariat Mu,



maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya…


Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini


pada jalan Mu yang sebenar,


Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani Mu


yang tidak kunjung malap,


Lapangkanlah hati-hati ini dengan


limpahan iman dan keyakinan


dan keindahan tawakkal kepada Mu,


Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan


makrifat (pengetahuan sebenar) tentang Mu,


Jika Engkau mentakdirkan mati,


maka jemputlah kami kehadirat Mu,


dalam redha, rahmat dan kasih sayang Mu


Engkaulah sebaik-baik sandaran


dan sebaik-baik penolong,




Ya Allah,


Perkenankanlah permintaan ini...

Rintihan dalam doa...

Sunday 18 May 2014

Kelantan (GomoQlateGomo)

exam Bahaso Kelate. 1betul 1markah.

1.Daba baju kumbey soyok ghabok...
A. Kolar baju Melayu koyak rabak
B. Berdebar pakai baju Melayu koyak
C. Si baju hijau sedang bertugas
D. Baju bundle 2 helai 5 ringgit

2.Mamoh woh topoh bowoh ghetok...
A. Memakai terompah yang retak
B. Makan buah bawah almari
C. Kunyah epal bawah jambatan
D. Kunyah jambatan sehingga retak

3.Buh pelepong nga kopeh aye dale lonjok...
A. Simpan tea dan ayam dalam pelampong
B. Simpan hati dgn isi ayam dalam mangkuk
C. Ayam den lapeh
D. Isi paru-paru dgn tulang ayam dalam mangkuk tingkat

4.Skeleng belana kokna daley celeng...
A. Duit banyak dalam dompet
B. Syiling berlambak dalam tabung
C. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
D. Wang melimpah atas siling

5.Cha sumbak, air beladong pah katah jemoghey...
A. Longkang tersumbat,air melimpah sampai anjung rumah
B. Sami buddha order tauhu sumbat & jus buah
C. Parit tersekat,air melimpah ke dalam rumah
D. Rumah kos rendah hadapi catuan air

6.Tey kedaghoh sekuk liuk atah balasoh...
A. Curi wang dalam tabung surau
B. Makan biskut lemau di surau
C. Biskut Tiger punca darah tinggi
D. Santap biskut kering di masjid

7.Gatih teksi deghah gak,loghak ni...
A. Pandu teksi laju sikit,ade hal ni
B. Kayuh basikal kejar teksi
C. Kayuh beca laju sikit,nak cepat ni
D. Teksi beroperasi tanpa meter

8.Duk cokoh bley-bley behey beledo...
A. Lepak-lepak sambil makan puding
B. Duduk sambil makan agar-agar
C. Tony Blair menari ballet
D. Bersembang bla-bla sambil dengar lagu balada

9.Selok doh ko nyeylo?
A. Jendela dah kunci belum?
B. Pengsan di jendela
C. Awas penyeluk saku
D. Tingkap dah tutup ke?

10.Kohor do'oh goli kudo bola...
A. Goalkeeper mengambil sepakan gol
B. Kuda dari N.Sembilan yang geli bermain bola
C. Penjaga gol menggeletek kuda
D. Perlahan sgt penjaga gol tendang bola

Friday 16 May 2014

Ya Allah

Wahai sahabat handal dan kawan2-ii , di dalam dunia ini tidak semua orang yang baik kan. Kekadang kawan rapat kita boleh buat jahat atas kita. Hmmm saya memohon kepada semua orang tolong follow saya dekat Twitter & Instagram.
Remove @RemajaJOHO itu perli dorang , sampai hati orang hack account saya. Please Follow me http://twitter.com/longfaiz @Longfaiz

Ustaz?

Hahahaa Lebih baik orang jahat daripada Ustaz. manusia mana yang sempurna, semua macam bangang blake . Die ingat die ustaz , orang akan pandang die mulia.Kate ustaz? Tapi keluar malam dengan awekz? Mmm”. Tidak semua kita harus percaya walaupun dia Ustaz dan berdakwah sepanjang masa.

Wednesday 14 May 2014

Lagu Sedih

Jikalau anda faham dengan terliti dengan lirik dan lagu ini anda mungkin akan menangis.

Terasing – Sudirman Hj. Arshad

Kegelisahan didalam kedinginan
Meniti sepi keseorangan
Sebuah kematian yang tiada bernisan
Sendu mengiringi perpisahan

Ruang nan luas diri bergerak bebas
Namun keupayaanku terbatas
Segala mimpi menjadi api
Perit membakar diri

Sebuah cinta dan harapan
Menjadi debu ber terbangan
Tersekat nafasku
Kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerna kehilanganmu

Ooo oooh mengapakah
Deru mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali

Pemergianku
Mengisi permintaan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikata pasangan bahagia
Kini terasing luka…

Corus

Sebuah cinta dan harapan
Menjadi debu ber terbangan
Tersekat nafasku
Kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerna kehilanganmu

Ooo oooh mengapakah
Deru mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali

Pemergianku
Mengisi permintaan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikata pasangan bahagia
Kini terasing luka…

KEHILANGAN...


Yang kita miliki tidak selama-lamanya adalah milik kita… 

Terkadang kita sebagai manusia terlalu mengikuti ego dan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu, atau menambah jumlah sesuatu pemilikan, sehingga kita pasti pernah melakukan hal yang tidak sepatutnya untuk mencapai hajat yang kita inginkan. Ketika kita begitu menyintai sesuatu, pasti akan terasa sedih ketika kita kehilangannya. Setiap manusia pasti pernah mengalami kehilangan. Kita mungkin kehilangan harta, dipecat dari jawatan, kesihatan merosot, apatah lagi yang berkaitan pasangan.

Pelbagai luapan reaksi kita lakukan saat kita kehilangan sesuatu. Bermula dari marah-marah, menangis, tekanan perasaan, memprotes takdir, hingga ada yang bunuh diri. Sebenarnya, dari segi hakikat, kehilangan adalah sebuah proses mendapatkan dan begitu pula sebaliknya, mendapatkan adalah sebahagian daripada kehilangan. Proses ini mengajar kita agar tidak bersifat tamak, kerana pada realitinya, manusia yang memiliki sesuatu sebenarnya tidak memiliki apa-apa pun.

Kehilangan memang menyedihkan tapi kita tidak mampu menghindarinya. Jangan pernah disesali dan ditangisi kehilangan itu, tapi renung dan buatlah perbandingan dengan tahun yang lalu. Hitung dan ukurlah kenikmatan yang kita perolehi; Seberapa besarkah kita kehilangan berbanding dengan apa yang kita perolehi.

Jangan pernah terlena dengan sebuah kehilangan, apalagi yang hilang itu material berbentuk kebendaan. Jangan pernah menangis atau menjerit bila yang hilang itu adalah sesuatu yang memang akan hilang pada saatnya. Lakukan yang seharusnya kita lakukan, berbesar hatilah dan persiapkan diri kita untuk kehilangan itu. Dalam hidup, suatu hal akan muncul dan akan pergi pada waktunya nanti. Tiada yang abadi di dunia ini. Kehilangan akan membuat kita merasa rapuh, tetapi di sisi lainnya pula, kehilangan mampu membuat kita menjadi tabah.

Yang perlu kita lakukan saat kehilangan adalah bermuhasabah diri…Apakah kita pernah mengambil hak orang lain, sehingga Allah mengambil hak kita secara paksa? Adakah kehilangan tersebut membawa manfaat, contoh ketika seseorang kehilangan pekerjaan, ternyata setelah proses kehilangan itu dia menjadi seorang usahawan. Dan ingatlah, walau dalam keadaan kehilangan sekalipun, ia pasti akan lebih menyejukkan hati bila kita berusaha mengambil hikmah dari kejadian tersebut.

Kehilangan akan menimpa siapa saja, sama ada lelaki, perempuan, anak-anak, orang tua, orang kampung, orang kota. Siapa saja. Ini kerana kehilangan adalah sebuah proses yang harus dilalui dalam kehidupan. Memang, sesungguhnya apa pun yang ada pada kita selama hidup di dunia ini tiada yang abadi. Oleh itu, mungkin kita harus belajar untuk menerima kehilangan. Mempersiapkan diri agar mampu berlapang dada di atas segala bentuk kehilangan yang akan terjadi pada hidup kita. Tidak ada yang mampu menjamin hari esok. Yang dapat kita lakukan hanyalah berwaspada dengan meminimumkan kesan kehilangan, supaya kita masih kuat melangkah ketika ada sesuatu yang di ambil kembali dari kita. Semoga kita mampu menghadapi kehilangan walau ia datang secara tiba-tiba.

Dalam masa yang sama, kehilangan belum tentu meninggalkan kekosongan, kerana jejak-jejak yang ditinggalkannya tidak pernah benar-benar hilang. Maka, mari belajar untuk mencintai kehilangan itu, kerana ia adalah sebahagian hukum alam dari kehidupan. Kehilangan memberi banyak pelajaran dan pengalaman baru buat kita agar kita dapat menerima dengan baik proses itu. Kita akan belajar menerima diri kita sendiri, seperti kata orang bijak, manusia tidak memiliki apa-apa kecuali pengalaman hidup. Bila kita sedar kita tidak pernah memiliki apa pun, kenapa harus tenggelam dalam kepedihan yang berlebihan ketika kita kehilangan…? Kebahagiaan hidup bukan kerana berhasil mendapat banyak, tetapi ada pada kemampuan menikmati apa yang di perolehi tanpa menguasai.

Ambillah pelajaran dari beberapa kehilangan yang kita alami. Sedari bahawa dalam setiap kehilangan ada proses pembelajaran yang membuat jiwa kita semakin dewasa. Atau mungkin menjadi sebuah proses untuk melepaskan sebuah ego dalam diri. Di saat kehilangan, kita jadi lemah seperti bayi yang tidak berdaya. Lalu, kita akan menyedari bahawa sekuat apapun jiwa dan diri ini, setiap yang hidup tidak pernah dapat lepas dari kehilangan. Dan bahawa cerita di dunia ini bukan hanya berlegar pada bual bicara kita saja, tetapi ada bicara orang lain yang harus kita turut sama dengarkan, raikan dan berkongsi pengalaman untuk menjadi pendengar yang baik.

Lalu, kenapa begitu sukar merelakan kehilangan…?

Wallahu`alam.

Jagalah hati….

SEMUANYA TIDAK BERLAKU DENGAN SIA-SIA



ALLAH s.w.t. berfirman maksudnya, “Apa pun musibah yang menimpa (manusia) tidak lain melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan membimbing hati orang berkenaan.” (at-Taghabun: 11)


Bagaimanapun, sepanjang mendepani kehidupan yang bersimpang siur antara kesenangan dan kesulitan, kita kadang-kadang lupa mengenai hakikat keizinan Allah s.w.t. dalam apa juga yang melanda.


Memang Allah tidak memfitrahkan kepada umat manusia satu kehidupan yang begitu mudah. Dia menetapkan kesusahan dan kesenangan sebagai satu pakej berkembar.


Tidak manusia, hatta Rasul dan wali-wali, diberikan hak istimewa untuk memilih hanya elemen kesenangan. Jika tidak, masakan Rasul dan wali-wali-Nya ikut bergelumang dengan pahit getir kehidupan.


Ada sebab musababnya mengapa Allah s.w.t. menetapkan sedemikian.


Hanya mereka yang benar-benar memahami dan berbaik sangka terhadap Allah s.w.t. mampu menerima setiap ketentuan ke atas diri dengan penuh redha. Malah wali Allah, atas dasar redha inilah, sering menemui kegembiraan di dalam setiap musibah yang menimpa mereka.


Rabiatul Adawiyah misalnya, iaitu seorang yang dikatakan mencapai taraf wali Allah, ketika ditanya mengenai maksud `redha’ menjelaskan bahawa seseorang itu dikatakan benar-benar mencapai taraf redha apabila darjah kegembiraannya ketika ditimpa musibah sama dengan darjah kegembiraannya ketika mendapat kesenangan.


Di dalam al-Quran, berkali-kali Allah menyebut mengenai ujian terhadap umat manusia. Firman-Nya yang lain bermaksud, “Setiap diri akan berasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada Kamilah kamu sekalian akan kembali,” (Al-Anbiya’: 35)


Nabi Muhammad s.a.w. juga mentarbiyahkan umatnya dengan memberi kefahaman serta kesedaran bahawa apa juga musibah yang menimpa adalah daripada Allah s.w.t. Semua itu tidak berlaku dengan sia-sia. Ada ganjaran bagi mereka yang sabar dan redha.


Sabda baginda bermaksud, “Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada terkena duri atau lebih berat daripada itu, ia adalah semata-mata ujian, kerananya Allah s.w.t. akan menghapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosa-dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Malah menurut baginda, ujian Allah s.w.t. tidak terbatas kepada musibah atau kesusahan semata-mata. Bebanan ujian Allah s.w.t. menerusi nikmat kesenangan, kekayaan dan pangkat kebesaran terhadap seseorang, dalam banyak kes dan keadaan, ternyata jauh lebih `berat dan membebankan’ berbanding ujian dalam bentuk kesusahan atau kesakitan.


Sabdanya bermaksud, “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi)


Kefahaman sejati mengenai hakikat ujian yang disemai Rasulullah s.a.w. inilah menjelmakan keredhaan tulen di kalangan peribadi Muslim. Ia juga menjadi sumber kekuatan umat pada zaman kegemilangan Islam ketika era Rasulullah s.a.w. dan selepasnya sehingga mereka bukan sahaja lahir sebagai da`i (pendakwah) menyebarluaskan syariat Allah di serata pelosok maya, malah muncul sebagai ilmuan, pedagang, pentadbir dan negarawan.


Dengan memahami hakikat keizinan Allah s.w.t. dalam setiap kejadian dan redha terhadap semua ketentuan tanpa bertawakal membuta tuli, mereka memacu kehidupan sebagai umat gemilang dan kekal istiqomah pada perjuangan.


Sebagai pejuang menegakkan dan mempertahankan setiap inci bumi Islam atau menyebarkan ajaran tauhid, mereka tidak gentar dek kemilaunya mata pedang atau tajamnya busur panah musuh.


Sebagai pedagang, mereka tidak gentar dek tingginya gelombang atau ganasnya ribut padang pasir. Mereka yakin, tidak ada yang lebih hebat dan Maha Perkasa berbanding Allah s.w.t.


Di tangan-Nyalah segala ketentuan. Dialah yang mencorakkan qada dan qadar. Mereka akur bahawa semua kesusahan dan kesenangan adalah ujian Allah s.w.t. Dan setiap ujian itu mempunyai kaitan langsung dengan darjah keimanan.


Malah di dalam al-Quran sendiri, apabila Allah s.w.t. menyebut mengenai ujian, Dia banyak mengaitkannya dengan keimanan. Perhatikan firman-Nya yang bermaksud, “Dialah Tuhan yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (Al-Mulk: 2)


Malah di dalam ayat lain, Allah s.w.t. seolah-olah menempelak manusia dengan firman-Nya bermaksud, “Alif Lam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata `kami beriman’ sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui mengenai orang yang berdusta”. (Al-Ankabut: 1-3)


Ayat ini memahamkan kita bahawa keimanan tidak cukup sekadar ungkapan lisan atau diwar-warkan begitu sahaja. Ujian yang ditimpakan oleh Allah s.w.t. adalah garis penentu keutuhan keimanan seseorang hamba-Nya. Sekadar ucapan di bibir tanpa kemampuan meloloskan diri terhadap apa juga ujian, bagi Allah s.w.t., mereka adalah `orang yang berdusta’.


Sebenarnya, ujian dalam sesetengah keadaan, terutama dalam bentuk kesenangan dan kemewahan, banyak menumpaskan manusia. Peribadi yang suatu ketika beriman, mungkin sahaja menjadi kufur akibat tidak tahan dek asakan keseronokan dan keasyikan palsu.


Bagaimanapun, mereka yang telah benar-benar menemui intisari agamanya akan tegap teguh mempertahankan keimanan walau sehebat mana ujian mendatang, sama ada dalam bentuk kesusahan atau kesenangan.


Inilah yang difirmankan oleh Allah s.w.t. bermaksud, “Orang beriman dan tidak mencampuri imannya dengan kejahatan, mereka itulah yang akan mendapat keamanan dan mereka itulah orang yang terpimpin.” (al-An`am: 78-82)


Untuk itu, demi kelangsungan hidup atas jalan lurus sepanjang masa dan dalam apa juga keadaan, memahami hakikat ujian susah serta senang sebagai satu pakej berkembar kehidupan, mampu menjadikan diri kita sebagai peribadi yang diterima Allah s.w.t. wallahu`alam

AKUKAH SAHABATMU

Dalam sebuah hadis Baginda saw menerangkan, bahawa pada Hari Kiamat nanti Allah memerintahkan dua orang hamba hadir mengadapNya. Seorang adalah hamba yang taat kepada perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya mati dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang yang taat itu ke Syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan dia”.


Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa yang seorang lagi ke Neraka dan Allah memerintahkannya disiksa dengan siksaan yang amat pedih. Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”.

Orang yang taat kepada Allah sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke Syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke pintu Syurga maka dia mendengar suara sahabatnya yang diheret ke Neraka itu berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku pertolongan”.

Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke dalam Syurga. Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke Syurga dengan rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tak mahu masuk ke Syurga, bawalah aku ke Neraka”. Malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke Neraka sebab Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke Syurga dan melayani kamu”.

Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tak mahu masuk ke Syurga dan tak mahu juga layananmu”. Setelah itu kedengaran suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku Maha Mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian tanyalah kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke Syurga dan mengapakah kamu ingin ke Neraka”?

Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke Syurga sebab orang yang derhaka kepada Allah itu telah diputuskan masuk ke Neraka. Dahulu ketika hidup, aku dan dia bersahabat baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dari ku supaya selamatkannya dari api Neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir lebih baik aku juga masuk ke Neraka supaya sama-sama di siksa di dalamnya”.

Kemudian kedengaran seruan Allah yang Maha Memberi rahmat berfirman, “Wahai hambaKu, kamu dengan kelemahanmu tidak suka melihat sahabatmu itu masuk ke neraka kerana dia telah berkenalan denganmu di dunia hanya sebentar dan dia mengetahui dirimu dan menemanimu hanya beberapa hari saja. Maka bagaimanakah Aku merelakan kamu masuk ke Neraka sedangkan kamu telah mengetahui Aku selama umurmu dan telah menjadikan Aku sebagai Robb mu selama 70 tahun. Oleh itu pergilah kamu ke dalam Syurga bersama sahabatmu itu dan Aku telah mengampuninya dan Aku serahkan dia kepada kamu”.

Apabila dibaca saja firman Allah yang terakhir itu, aku rasa bergetar seluruh badan dan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan hadir dalam hati dan diri ini. Allah Maha Pengampun lagi Maha Pemberi Rahmat. Adakah saudara-saudara seakidahku juga merasai getar hati saat membacanya...?

Moga Allah tempatkan kita semua dalam golongan yang beriman dan Dia sentiasa memberi kita rahmat Nya...

Monday 12 May 2014

TANGISAN PERHIASAN HATI


“Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Indahnya hidup dengan celupan iman. Saat itulah terasa bahawa dunia bukan segala-galanya. Ada yang jauh lebih besar dari yang ada di depan mata. Semuanya teramat kecil dibanding dengan balasan dan siksa Allah swt.

MENYEDARI BAHAWA DOSA DIRI KITA TIDAK AKAN DIPIKUL OLEH ORANG LAIN

Siapa pun kita, jangan pernah berfikir bahawa dosa-dosa yang telah dilakukan akan terpikul di pundak orang lain. Sama ada diri adalah orang kaya, pemimpin mahupun tokoh agama yang punya banyak pengikut. Semua kebaikan dan keburukan akan kembali ke pelakunya.

Maha Benar Allah dengan firman-Nya dalam surah Al-An’am ayat 164. “…Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Robb mulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.”

Lalu, pernahkah kita menghitung dosa yang telah kita lakukan. Seberapa banyak dan besar dosa-dosa itu. Mungkin, hitungannya tidak berbeza dengan jumlah nikmat Allah yang kita terima. Atau bahkan, jauh lebih banyak lagi.


Masihkah kita merasa aman dengan mutu diri seperti itu? Belumkah tersedar bahawa tidak seorang pun mampu menjamin bahawa esok kita belum berpisah dengan dunia? Belumkah tersedar tidak seorang pun yang mampu yakin bahawa esok ia masih boleh beramal? Belumkah tersedar kalau kelak masing-masing kita sibuk dipertanggungjawabkan apa yang telah kita lakukan…?


MENYEDARI BAHAWA DIRI KITA TERAMAT HINA DI HADAPAN ALLAH YANG MAHA AGUNG

Di antara keindahan iman adalah anugerah pemahaman bahawa kita begitu hina di hadapan Allah swt. Saat itulah, seorang hamba menemukan jati diri yang sebenarnya. Ia datang ke dunia ini tanpa membawa apa-apa. Dan akan kembali dengan selembar kain putih. Itu pun kerana jasa baik orang lain.
Apa yang kita dapatkan pun tidak lebih dari anugerah Allah yang tersalur melalui diri kita. Kita pandai kerana orang tua menyekolahkan kita. Seperti itulah sunnatullah yang menjadi kelaziman bagi setiap orang tua. Kekayaan yang kita perolehi mungkin berasal dari warisan orang tua atau kerana berkat persekitaran yang lagi-lagi Allah titipkan buat kita. Kita begitu faqir di hadapan Allah swt. Itulah yang Allah nyatakan dalam surah Faathir ayat 15 hingga 17, “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.”

MENYEDARI BAHAWA SYURGA TIDAK DAPAT DIMASUKI DENGAN AMAL YANG SEDIKIT

Mungkin kita pernah berangan-angan dalam fikiran kita bahawa sudah menjadi kemestian bagi Allah swt. akan memasukkan kita ke dalam syurga. Fikiran itu mengalir lantaran merasa diri telah begitu banyak beramal. Siang malam, tidak henti-hentinya kita menunaikan ibadah. “Pasti, pasti saya akan masuk syurga,” begitulah keyakinan diri itu muncul kerana melihat amal diri sudah lebih dari cukup.

Namun, ketika perbandingan nilai dilayangkan jauh ke generasi sahabat Rasul, kita akan melihat pemandangan lain. Bahawa, para generasi sekaliber sahabat pun tidak pernah merasa aman serta selamat kalau mereka pasti masuk syurga atau neraka. Dan seperti itulah dasar pijakan mereka.

Begitulah ketika turun perintah hijrah. Mereka melihat segala bayang-bayang suram soal sanak-saudara yang ditinggalkan, harta yang pasti akan dirampas, dengan satu harapan: Allah pasti akan memberikan balasan yang terbaik. Dan itu adalah pilihan yang tidak boleh disia-siakan.


Begitu juga ketika Allah mempertemukan mereka dengan pasukan yang tiga kali lebih banyak dalam daerah yang bernama Badar. Dan pertarungan serta pertaruhan saat itu bukan hal kecil, iaitu  nyawa. Lagi-lagi, semua itu mereka tempuhi demi menyongsong cita-cita besar, iaitu meraih syurga.

Begitulah Allah menggambarkan mereka dalam surah Al Baqarah ayat 214. “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

MENYEDARI BAHAWA AZAB ALLAH TERAMAT PEDIH

Apa yang boleh kita bayangkan ketika suatu ketika semua manusia berkumpul dalam tempat luas yang tidak seorang pun memiliki hak istimewa kecuali dengan izin Allah. Jangankan hak istimewa, pakaian pun tidak ada. Yang jelas dalam benak manusia saat itu cuma pada dua pilihan: syurga atau neraka. Di dua tempat itulah pilihan akhir nasib seorang anak manusia.

“Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (QS 80:34-37) Mulailah bayang-bayang pedihnya siksa neraka tergambar jelas. Kematian di dunia cuma sekali. Sementara, di neraka orang tidak pernah mati. Selamanya merasakan pedihnya siksa. Terus, dan selamanya.

Seperti apa siksa neraka, Rasulullah saw. pernah menggambarkan sebuah contoh siksa yang paling ringan. “Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahawa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Belum saatnyakah kita menangis di hadapan Allah? Atau jangan-jangan,hati kita sudah teramat keras untuk tersentuh dengan kekuasaan Allah yang teramat jelas di hadapan kita. Imam Ghazali pernah memberi nasihat, jika seorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis kerana takut dengan kekuasaan Allah, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu…

Wallahu`alam.

KEJAYAAN dan KEGAGALAN...


Kita semua tentu pernah mengalami sebuah kegagalan dalam perjalanan hidup kita. Namun bagaimana kita menghadapi kegagalan itu? Bagaimana membuat sebuah kegagalan dalam hidup sebagai suatu yang indah?


Kegagalan pasti selalu ada dalam diari kehidupan seluruh umat manusia. Baik seorang pemimpin negara hinggalah kepada anak kecil yang baru belajar sekalipun, pasti pernah mengecap pahitnya kegagalan. Tidak ada yang tidak pernah merasakan hal ini. Masalahnya adalah bagaimana kita menghadapi dan bersikap dalam menghadapi kegagalan itu.


Apakah kegagalan itu akan menjadi pelajaran untuk kita agar ia tidak berulang kembali serta dapat menjadikan kita insan lebih baik lagi atau ia akan menenggelamkan kita dalam jurang kepasrahan, keputus asaan dan ketidakmampuan dalam menghadapi hidup yang terus pantas meninggalkan kita?



Namun, bersyukurlah jikalau kita selama ini selalu mengecapi manisnya berjaya dalam hidup. Tapi jangan terlalu terlena dengan kejayaan, kerana jika kita tidak berhati-hati kita mungkin akan jatuh ke lembah kegagalan yang menyukarkan untuk kita menerimanya seumur hidup.


Sebuah kegagalan adalah suatu perjalanan yang harus kita lalui dan hadapi apabila kita ingin meneguk indahnya suatu kecemerlangan. Dan kegagalan merupakan sebuah ujian pada kita agar kita dapat naik ke satu tingkat yang lebih maju dan lebih memahami erti daripada sebuah kecemerlangan yang sesungguhnya.


Jangan terlalu kecewa apabila kegagalan yang kita dapatkan, namun semestinya kita harus bersiap sedia kerana kejayaan yang kita inginkan akan segera menghampiri kita dengan penuh kebahagiaan, walaupun kedatangannya agak sedikit tertunda kerana kita dituntut untuk terlebih dahulu mempelajari sikap bagaimana bersabar dalam menerima kedatangan sebuah kejayaan yang kita inginkan selama ini. Dengan kedatangannya yang agak sedikit tertunda, kita akan menjadi lebih dewasa dan lebih menghargai erti sebuah kegagalan dan sebuah kejayaan yang sebenarnya.


Allah swt memberikan kita waktu yang banyak agar kita dapat mempelajari setiap ujian-ujian yang Dia berikan untuk kita, agar kita lebih kuat lagi dalam mengharungi kehidupan ini. Ujian yang datang pada kita itu bermacam-macam, ada ujian yang datang dengan yang mudah terlebih dahulu seterusnya agak sedikit berat, dan ada pula yang datang dengan yang sulit terlebih dahulu setelah selesai barulah di berikan ujian yang agak sedikit mudah.


Kesulitan ataupun kegagalan yang kita terima adalah sebuah hadiah yang indah dan terbaik untuk kita daripada Allah swt walaupun di bungkus secara tidak baik, namun apabila kita lebih cermat lagi dalam memandang sebuah ujian Allah swt tersebut, kita akan lebih mengerti bahawa sebenarnya Allah swt sayang kepada kita dengan memberikan berbagai ujian dan dugaan agar kita lebih bijak lagi dalam menjalani kehidupan yang sangatlah singkat ini.



Kesabaran dalam menghadapi ujian hidup adalah merupakan kunci daripada sebuah kejayaan yang kita inginkan.


Apabila hari ini kita meraih sebuah kejayaan, ada dua keadaan yang akan kita alami. Pertama, melalui kejayaan ini, kita dapat merasakan hasil jerih payah dan kerja keras kita. Di samping itu, kita dapat mengharapkan pahala yang dijanjikan oleh Allah swt atas kerja keras kita di jalan yang benar. Kedua, kita harus menyedari bahawa kejayaan ini merupakan kasih sayang Allah swt dan pada saat yang sama, Allah swt sedang menguji kita, apakah kita ini termasuk hamba yang bersyukur ataupun hamba yang kufur.


Sebaliknya, ketika kita mengalami sebuah kegagalan, juga ada dua keadaan yang akan kita hadapi. Pertama, kegagalan ini merupakan imbalan setimpal daripada pekerjaan buruk yang kita lakukan di dunia, atau merupakan akibat dari kurangnya upaya dan usaha kita. Kedua, kegagalan ini merupakan ujian Allah swt untuk meningkatkan darjat kesempurnaan kita.


Kita mampu mengambil teladan dari kehidupan Nabi Ayyub as. Baginda as adalah Nabi yang tidak melakukan perbuatan dosa, namun mendapat ujian dari Allah swt berupa berbagai kegagalan, antara lain Baginda as menjadi jatuh miskin dan sakit. Namun, Nabi Ayyub as tetap bersabar menghadapi ujian yang berat itu.


Kejayaan mahupun kegagalan sesungguhnya merupakan sebahagian dari proses ujian Allah swt terhadap manusia. Berbahagialah orang yang selalu menjalin hubungan dengan Allah swt dan menyatakan bahawa tidak ada sesuatu yang sia-sia atau percuma di dunia ini.


Janganlah kita terlalu larut dalam kesedihan kerana kehilangannya kenikmatan, dan janganlah terlalu bahagia ketika mendapatkan kenikmatan. Sebab, adanya kenikmatan dan tidak adanya kenikmatan, keduanya adalah ujian Allah swt untuk manusia. Akan tetapi hal yang penting dalam pandangan Islam, manusia dengan perbuatannya yang terpuji berupaya mencari keredhaan Allah swt sehingga ia dapat menjalani kehidupan dengan kejayaan yang hakiki di Akhirat kelak.

Ada tiga jenis orang di dunia ini,

Pertama,orang bodoh adalah orang yang tidak pernah belajar dari pengalaman kegagalan.

Kedua,orang biasa adalah orang yang belajar dari pengalaman kegagalan sendiri.

Ketiga,orang pintar adalah orang yang belajar dari kegagalan orang lain.
Wallahu`alam.