Powered By Blogger

Friday 11 December 2015

JIKA AKU PERGI







Jika aku pergi
Akankah ada yang menyedari..?
Akankah ada yang terluka...?
Akankah ada yang gundah...?



Jika aku pergi
Akankah ada yang menangisi...?
Akankah ada yang tersiksa...?
Akankah ada yang dendam...?



Jika aku pergi
Akankah ada yang menyesali...?
Akankah ada yang ku sakiti...?
Akankah ada yang pilu...?



Jika aku pergi
Akankah ada memahami
Atas ketiadaanku di sini...?




Wallahu`alam

Sunday 6 December 2015

Ujian kepada umat

 ALLAH S.W.T. berfirman, “ Maha Suci ALLAH yang menguasai segala kekuasaan, dan DIAlah Yang MahaKuasa atas segala sesuatu, Yang Menciptakan hidup dan kematian, bagi melihat dari kalangan kamu siapakah yang terbaik amalnya. Dan DIA itu Maha Perkasa dan Maha Pengampun” Bila kita diuji, apakah perasaan kita? Bila kita diuji dengan kesempitan wang, apakah yang sering menari di mulut kita? Bila kita diuji dengan kesakitan, apakah yang sering berlari di dalam pemikiran kita? Apabila kita diuji dengan musibah seperti kecurian, kematian dan sebagainya, apakah yang kita akan lakukan? Biasanya manusia tidak suka diuji. Kerana, apabila diuji, pastinya ada kesukaran yang perlu dilangkahi, ada denau yang mencabar perlu direntasi. Apabila manusia diuji, maka akan terpamerlah segala kelemahannya. Apabila manusia diuji, maka akan terjerumuslah dia di dalam kancah kesukaran. Ujian dan kesukaran, kesusahan seakan-akan telah menjadi sinonim dan sebati.

Apabila disebutkan sahaja tentang ujian, maka akan kita kaitkannya dengan kesusahan. Hal ini menyebabkan kita menyambut segala jenis ujian yang ALLAH berikan kepada kita dengan sikap yang negative. Kita akan merungut, mengeluh, mencemuh, membenci dan menyumpah seranah setiap kali diuji, tidak kira ujian itu kecil atau besar. Kadangkala, kita akan menyatakan di dalam hati kita, kenapa aku diuji? Ya, kenapa kita diuji? ALLAH S.W.T. menjawab, “ Apakah manusia mengira, mereka dibiarkan menyatakan kami beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”   

Ya, ALLAH menyediakan pelbagai ujian kepada kita, ALLAH menguji kita, semata-mata adalah untuk menguji keimanan kita. Sesungguhnya manusia ini sedang menuju salah satu dari dua tempat perngakhiran. Syurga atau neraka. Jika kita merujuk kitab-kitab yang menyatakan perihal syurga, pastinya kita akan terpegun kagum dengan kehebatan syurga yang langsung tidak dapat kita gambarkan kehebatannya. Ada satu riwayat menceritakan bahawa hebtanya syurga itu sehinggakan apabila manusia memasukinya buat pertama kali, akan terpegun terlebih dahulu selama 50 tahun kerana hebat dan menakjubkannya syurga. ALLAH S.W.T. berfirman, “ Balasan mereka di sisi ALLAH adalah syurga ‘and, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya…” 

Hidup penuh senang lenang di dalam syurga, yang penuh dengan kenikmatan yang tidak tergambarkan, buat selama-lamanya, bukankah itu terlalu sedikit jika kita hendak bayar dengan sedikit kepayahan yang kita alami di dunia ini? ALLAH menguji kita kerana dia hendak melihat iman kita. Dia hendak melihat adakah kita yakin dengan segala janji-janjiNya. Ada antara kita diuji dengan keputusan peperiksaan yang jatuh merudum walaupun telah berusaha, ada yang diuji dengan kehilangan orang yang tersayang, ada yang diuji dengan kemalangan yang teruk, ada yang diuji dengan kesempitan wang dan pelbagai lagi jenis ujian, jika kita perhatikan, semua ujian itu adalah untuk melihat apakah kita ini mampu mempertahankan iman kita dari roboh, apakah kita ini terus yakin dengan segala janji-janji ALLAH, apakah kita ini tidak berputus asa dari rahmat ALLAH?

 Saya teringat sebuah kisah yang saya baca ketika saya kecil dahulu, di dalam buku cerita-cerita israiliyyat, Cerita itu menyebut tentang kisah dua orang nelayan. Seorang menebar jalanya dengan menyebut basmalah, seorang lagi menebar jalanya dengan menyebut nama berhala. Namun apabila diangkat, yang membaca berhala mendapat banyak ikan, sedangkan yang menyebut nama ALLAH langsung tidak mendapat ikan. Malaikat yang melihat peristiwa ini bertannya kepada ALLAH, mengapa jadi begitu, sedangkan yang mendapat ikan banyak itu menyekutukan ALLAH, dan yang mendapat ikan sedikit itu beriman kepadaNya. 

ALLAH menyatakan bahawa, DIA menguji yang beriman itu di dunia ini kerana DIA hendak memberikan kesenangan yang lebih besar dan selama-lamanya kepadanya di akhirat nanti, manakala yang menyekutukannya itu, dia akan merana selama-lamanya di akhirat nanti dengan dilemparkan ke dalam neraka, maka apalah sangat sejala ikan dengan seksaan yang menanti itu. Maka marilah kita bermuhasabah, Sebab itulah jika kita lihat-lihat semula, ada satu kata-kata pujangga yang berbunyi, “ ujian itu tanda kasih sayang ALLAH pada hambaNYa” Ya, ALLAH menguji kita, tanda DIA sayang kepada kita. 

Apabila kita diuji, diri kita biasanya akan mencari tempat berpaut, maka sebaik-baik tempat berpaut dan meminta sokongan adalah ALLAH. Orang yang beriman, apabila diuji, makin meningkat imannya kepada ALLAH S.W.T. Justeru ujian itu adalah tanda kasih sayang ALLAH kepada kita. Kita perlu yakin, memperkuatkan iman kita, dan bersangka baik kepada ALLAH setiap masa. Justeru mari kita sama-sama bermuhasabah. Apakah kita bersedia untuk diuji lagi? Ingatlah bahawa kesenangan dan kehidupan itu sendiri adalah satu ujian. Manusia diuji setiap masa. Kerana cagaran syurga adalah iman. Dan rahmat ALLAH itu melimpah kepada kita atas dasar keimanan kita kepadaNya. 

Saturday 5 December 2015

Sesat Jalan





Ya Allah... sungguhnya aku seorang insan
yang sering tergelincir landasan
sering terhasut godaan syaitan
yang sering sesat jalan
tidak mampu pertahankan iman...



Ya Allah... ampun akan dosaku
ampunkan apa yang telah aku lakukan
kejutkan aku sepantas seperlu
selimutkan aku dengan zikir Mu
payungkan aku dengan hidayah Mu...




Ya Allah... yang menciptakan aku
sungguh aku rasa malu
untuk berdepan dengan Mu


Tetapi Ya Allah...
yang Maha Berkuasa
aku sentiasa ingat Mu walau aku dijalan benar atau sesat...

Friday 4 December 2015

Dosa dan Pahala






Di antara ruang hidup dosa pahala
tersirat seribu tanda tanya
tersurat seribu wajah rupa
tertulis seribu duka nestapa
terlukis seribu ceria gembira...



Di setiap langkah kaki
mengaris tapak seribu erti
mencorak jejak penuh misteri
meninggal kesan sebuah memori...



Di setiap gerak tangan
pelbagai hulur jenis salaman
bermaksud luar atau simpan
menjadi kekuatan sang impian...



Disetiap gerak tubuh
memain lenggok cerita utuh
rasa syurga dunia yang teguh
berbangga dada bertegap tubuh...



Disetiap cerita bibir
tidak pernah untuk merasa getir
berkata handal bermulut mahir
bermadah angkuh bekata kafir...

Thursday 3 December 2015

Pahala






Situasi 1

"Alah, dengar benda sama je. Malaslah nak pergi." keluh Kamal.

"Aah, mesti cakap perkara yang sama je. Aku dah tahu apa yang dia nak cakap. Kamu sajelah yang pergi." tambah Aswad sambil merebahkan badannya di sofa yang empuk.


Farhan menggelengkan kepada saja melihat gelagat rakan-rakannya.


Situasi 2


"Ish, ish, tukar-tukar. Ni siaran ulangan. Aku dah tengok." kata Syafiq


"Alah, kitaorang tak tengok lagi lah." balas Zikri sambil tangannya memegang alat kawalan jauh.


"Tukar jelah, apa ustaz tu ceramah korang dah tahu. Ustaz tu cerita pasal perang badar." Syafiq tetap dengan pendiriannya.


"Baik tengok ni daripada tengok filem karut tu. Berfaedah sikit. Tengoklah sekejap mana tahu awak terlepas dengar ke benda yang awak tak pernah dengar." Zaid mencuba menasihati Syafiq.


Akhirnya Syafiq mengalah.


Situasi 3


"Jom ikut ayah pergi ceramah surau ar-Rayyan." kak Aisyah mengajak adiknya mengikuti kuliah maghrib ayahnya di surau.


"Em, malaslah. Semalam dah ikut. Ayah ceramah pakai kitab sama kat surau Ubudiyyah semalam. Dengar benda same je." Widad berdalih.


Situasi 4


"Tukar CD. ceramah ni dah dengar. 2 kali dah."


"Alah, takpelah dengar banyak kali pun. Banyak lagi tak lekat dalam kepala apa yang Ustaz tu ceramah."




Macam-macam senario yang berlaku dah kehidupan seharian kita. Manusia ini mudah jemu mendengar atau melihat perkara yang sama. Kadang-kadang jemu mendengar nasihat yang sama. Memberi nasihat yang sama pastinya. Ibu yang selalu 'meleteri' supaya tidak boleh itu, tidak boleh ini. Kena ini, kena itu. Itu ibunya yang melahirkan kita yang banyak berkorban untuk kita sanggup kita memekakkan telinga apatah lagi orang lain.



Wang dan Pahala itu Tidak Sama


Jika anda ditawarkan 1 juta ringgit untuk membaca 30 juzuk al Quran, adakah sama banyak pahala kita dapat dengan wang yang ditawarkan itu. Mungkin lebih atau mungkin kurang. Atas niat masing-masing.


Kebanyakkan kita lebih sayang wang daripada pahala Allah. Wang dan pahala itu serupa tapi tidak sama. Wang digunakan 'perlaburan' di dunia manakala Pahala digunakan 'perlaburan' di akhirat tetapi kedua-duanya tidak sama sekali.


Lihatlah perbezaan sebagaimana dalam hadis Rasulullah saw yang telah menjelaskan mengenai mereka yang dikatakan bankrup.


Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?


Sahabat ra menjawab, “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki wang dan juga tiada memiliki harta.”


Lalu Rasulullah saw menjawab, “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi dahulunya waktu di dunia ia pernah mencaci maki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan pernah memukul seseorang. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dibayar semuanya, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)



Pelaburan dengan Allah ada Untung tanpa Rugi


Jika kita lihat situasi di atas, ramai yang berfikiran begitu. Mereka berasa jemu mendengar sesuatu yang berulang-ulang. Walaupun perkara sama tetapi pahala tetap jalan. Mereka tidak sedar walau pun mereka menganggap itu adalah sesuatu yang rugi sesungguhnya tanggapan mereka itu salah. Bahkan pahala Allah itu tidak pernah berhenti seperti air zam zam yang sentiasa mencurah-curah dengan izin-Nya. Sedangkan juga perkara itu lebih baik daripada mereka melakukan perbuatan yang sia-sia malah mereka juga mendapat dosa.


Sedarkah kita bahawa Allah itu Maha Pengasih pada hamba-Nya. Sesungguh tiada hari tanpa pahala. Allah memberi pahala tidak sesekali memberi dosa jika kita tidak melakukan apa yang dilarang-Nya. Allah tidak pernah henti memberi nikmat kepada kita. "Maka nikmat Robb kamu yang manakah yang kamu dustakan". 



Sudahkah kita bersyukur...?

Wednesday 2 December 2015

Pencuri Itu







Benar aku si pencuri itu
mencuri sebiji gula gula...


Kenapa mencuri...?
kerana aku tidak punya duit..
Kenapa tidak punya...?
kerana aku orang miskin...



Bapaku pengutip besi buruk
ibuku pencari botol kosong
keluargaku tidak kaya..
keluargaku tidak punya harta
keluargaku papa kedana...



Tetapi aku juga mahu gembira
seperti kanak kanak lain
dapat makan enak-enak
dapat makan manis manis
tetapi aku miskin...



Apa yang mampu hanya nasi dan garam
itu jika mampu...
jika tidak hanya ubi rebus


Kenapa aku begini...?
salah Robb-kah...?
salah bapakah...?
salah ibukah...?


Aku mahu sekolah
tetapi aku miskin...


Aku mahu baju baru
tetapi aku miskin...



Aku mahu mainan baru
tetapi aku miskin...

Walau aku miskin
aku masih syukur
punya keluarga tempat berteduh
aku punya Allah
aku punya suatu hari yang aku berjanji
suatu hari nanti keluargaku tidak lagi begini...

Tuesday 1 December 2015

Berbeza kau dan aku





Seperti ada ribuan sembilu mencabut jiwaku,
aku rasakan kelam itu telah memanggil,
kadang mendekat...

kadang menjauh...

kemudian aku melangkah untuk tentukan arah
tetapi ingatlah bahawa aku bukanlah pilihan,
meski seribu gunung dan lembah ku lalui,
tetap sahaja kau tidak akan mampu merubah
haluan yang akan aku tuju,

tersenyumlah...


yakinkan hati...
bahawa kau adalah kau...
dan aku adalah aku...


kerana kau dan aku memang berbeza...



Wallahu`alam



Jagalah Hati...

Friday 22 May 2015

KELATE KELANTAN

Asal Usul Gelaran "Long"
Pendapat Pertama gelaran"Long" berasal dari perkataan "sulong" iaitu anak sulung. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil "long", "kak Long" atau "abang long". Sudah menjadi adat di kalangan raja-raja Melayu pula, putera sulung mereka akan mewarisi takhta. Jadi Long Gaffar adalah putera sulong Raja negeri Reman (yang terletak di Yala, Selatan Thailand hingga Hulu Perak sekarang).Pendapat yang kedua pula menyatakan riwayat lain ada menyebut bahawa gelaran Long berasal daripada perkahwinan diantara pihak lelaki yang berstatus Wan dengan pihak perempuan berstatus Raja atau Nik,ini boleh dibuktikan dengan perkahwinan Draja dahulukala dimana seorang kerabat berstatus Wan iaitu Wan Daim digelar Dato'Pangkalan Tua(Raja Patani) telah berkahwin dengan seorang kerabatnya berstatus Raja kemudian daripada ini lahirlah keturunanya yang diberi nama Long Sulong dipangil juga Tuan Sulong,Long Baha kemudian digelar Tuan Besar Jembal,Long Senik Geting kadang-kadang dipangil juga Tuan Wook dan Long Nik kemudian digelar Dato Pasir. walaubagaimana pun status kepada gelaran Engku,Wan,Tuan,Long,Nik dan Raja adalah sama tarafnya sebelum abad ke-20.Pendapat yang ketiga ini mengatakan bahawa perkataan "Long" itu berasal daripada perkataan Siam "Luang" yang bererti "Putera". Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama "Long" tanpa mengira sama ada anak sulung atau tidak. Nah..! dalam hal ini nampaknya dalam konteks gelaran Long ciri-ciri kepada kesepakatan bukti maklumat ini lebih kepada menyokong maklumat pendapat yang kedua itu. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana anaknya ialah Ngah Ibrahim). Anak-anak perempuan diberi pangkal nama Tuan di Kelantan, atau "Nan" atau "Nang" di Terengganu (dipercayai dari perkataan "Nae" bererti "puteri' dalam bahasa Siam).
-Puteri Saadong-

JIKA





Jika aku bertaubat, itu atas anugerah-Nya kepadaku
dan jika aku berbuat dosa, Dia adalah harapanku...



Jika aku berpaling, Dia menyeruku
dan jika aku menghadap, Dia mendekatkaku kepada-Nya...



Jika aku mencintai-Nya, Dia memeliharaku
dan jika aku ikhlas, Dia berbisik kepadaku...



Jika aku berbuat lalai, Dia memaafkanku
dan jika aku berbuat baik, Dia membalas dengan yang lebih baik...



Wahai kekasihku, Engkau Maha Pemurah kepadaku
maka singkirkanlah kesedihanku...



Hanya kepada Engkaulah kerinduanku
dengan segenap hatiku, lahir dan batinku...



Wahai Robb yang Maha Pemurah
dan yang paling diharapkan kemurahan-Nya



Wahai Yang Maha Penyayang yang menganugerahkan kebaikan-Nya kepadaku...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

TUBUH MU ADALAH PERHIASAN






Salam khusus buat saudari semuslimku yang baik hati...



Sesungguhnya aurat tidak akan tertutup dengan sifat lemah lembut, tidak akan tertutup dengan perangai baik, tidak akan tertutup dengan kata-kata yang baik dan tidak akan tertutup dengan solat... tetapi akan tertutup dengan PAKAIAN yang SEMPURNA...



Sesungguhnya Allah swt menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita...



Bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah swt yang Maha Pemberi Rahmat. Bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah swt...



Wahai saudari semuslimku yang baik hati... ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup Sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini. Ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya. Ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan. Ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan dan semuanya menangis.


Mereka menangis kerana hari itu Allah swt murka! Belum pernah Allah swt murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah swt di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil Hari Hisab.


Wahai saudari semuslimku yang baik hati... bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung... Allah swt...



Wallahu`alam

Thursday 21 May 2015

HATI

HATI YANG MUSTAJAB





Manusia mungkin tersilap penelitian. Ramai di kalangan kita tersalah sangka dalam pada ingin memohon sesuatu kepada Yang Maha Esa, kita sering mencari ustaz/ ustazah, teks-teks doa, menunggu waktu-waktu tertentu atau menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan harapan hajat-hajat ditunaikan. Bukan bererti salah berbuat demikian, namun pada hemat saya, ada suatu perkara yang perlu lebih ditekankan sebelum perbuatan itu kita lakukan. Apakah ia...?


BERDOA...!



Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Abdullah Al-Hakim dalam Kitab Mustadrak Al-Hakim, ada perkara yang boleh kita ambil dari sudut perlaksanaan doa ketika kita ingin memohon diperkenankan hajat kepada-Nya. Hadis ini biasa di sebut oleh Rasulullah saw ketika mana Baginda saw ditimpa musibah. 


Baginda saw bersabda, "Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba Mu, anak kepada hamba lelaki Mu, dan anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubunku di tangan Mu, berlalulah penentuan Mu terhadapku, hukuman Mu ke atas ku adalah adil. Aku bermohon kepada Mu dengan keberkatan setiap nama Mu yang Engkau namakan pada diri sendiri, atau yang Engkau turunkan dalam Kitab Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada mana-mana dari penciptaan Mu, atau Engkau pendamkan dalam pengetahuan ghaib di sisi Mu, agar Engkau jadikan Al-Quran sebagai peneduh jiwaku, cahaya dalam dadaku, serta penghilang kesedihan dan dukacitaku. (Mustadrak Al-Hakim no.1869)


# hadis ini juga turut dirawayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, tetapi dari sanad (periwayatan) yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Dar-AlQutni kerana terdapat seorang perawi yang tidak dikenali iaitu Abu Salamah.#



HURAIAN HADIS

Berdasarkan kepada hadis tersebut, dapat kita lihat bahawa ketika mana Baginda saw bermunajat kepada Allah sewaktu ditimpa kesusahan, Baginda saw memulakan doa dengan merendahkan diri dengan merasakan diri tidak mampu berbuat apa-apa sebagai hamba melainkan dengan bantuan-Nya. Bahkan turut menggelarkan diri sebagai anak yang datang dari dua hamba iaitu ibu dan bapa yang mana kita tahu proses kejadiannya bermula dari perkara yang hina pada tanggapan manusia.


Begitu sebenarnya permulaan doa bagi setiap manusia. Paling penting dalam berdoa adalah kerendahan hati seseorang itu terhadap Dia yang diminta. Tambahan maksud doa itu sendiri adalah pengharapan dari yang rendah kepada yang lebih tinggi darjatnya di samping mempunyai tujuan yang satu iaitu merasai takut yang membawa kepatuhan pada Allah semata-mata yang tanpa ada berbelah bagi kepada sesiapa pun jua.


Jika seorang insan itu hanya mencari teks-teks doa yang diyakini berkesan, maka kadangkala proses itu memakan masa dan mungkin setelah ia dijumpai perlu pula dihafal dan diingati untuk diamal dalam kehidupan sehari-hari.


Jika seseorang itu hanya mencari waktu-waktu tertentu pula, maka mungkin agak sukar untuk dia menunggu kepada waktu yang disebutkan sebagai waktu yang mustajab. Begitu pula, jika mencari tempat-tempat yang mustajab, boleh jadi dia perlu mengorbankan tenaga, hatta kewangan juga demi untuk menziarahi tempat-tempat tersebut.


Namun, kelebihan bagi mereka yang mendapatkan hati yang mustajab dengan merendahkan diri di hadapan Yang Esa, maka tidak kiralah apa pun yang dia baca (yang mengikut syara’), pada ketika mana pun dia berdoa, atau dimana-mana sahaja dilafazkan doa, maka dia akan dapati bahawa doanya sebenarnya telah dimakbulkan oleh-Nya.


Oleh yang demikian, seperti yang saya terangkan diatas, bukan salah kita mencari apa-apa bahan bacaan bahkan jika kita mampu maka doa-doa yang ma’thur(berdasarkan hadis-hadis sahih daripada Rasulullah saw) lebih utama untuk kita baca, atau mencari waktu dan tempat mustajab, tetapi hati yang mustajab itu membuka seluasnya ruang kepada manusia dalam rangka berdoa mengharap kepada-Nya.


Ada pun suatu perkara yang perlu kita ambil perhatian, jika kita memuji manusia lazimnya dengan pujian tersebut manusia lebih cenderung untuk memberikan apa yang dia punyai. Namun, Allah tidak begitu kerana kerajaan-Nya sedia hebat. Jika tiada satu makhluk pun yang memuji-Nyam maka Allah tetap hebat dan Allah dengan sifat Pemurah dan Pengasihnya masih akan memberikan manusia nikmat-nikmat-Nya.


Demikian, kita melihat dalam hadis ini yang memuji keadilan, keagungan Allah swt dengan tujuan menampakkan kebesaran Allah kepada manusia yang lemah. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk memohon doa menggunakan nama-nama yang telah Dia namakan diri-Nya seperti Al-Ghafur, Ar-Rahim, Al-Aziz dan sebagainya.



PENJELASAN

Suatu perkara yang perlu dijernihkan semula berkenaan mustajabnya doa ini adalah manusia seringkali beranggapan jika makbul (diterima) doa yang dia pinta, maka sesungguhnya doanya mustajab. Tetapi jika sebaliknya, ada manusia yang masih tidak putus-putus berdoa dan ia amatlah baik, namun tidak kurang juga bertindak mengatakan bahawa Allah tidak mengasihi dirinya, tidak adil kerana memberi nikmat kepada mereka yang lain dan sebagainya.


Suatu perkara kita kena ingat adalah mustajabnya doa kita adalah mengikut susunan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi diri kita sebagaimana firman-Nya, “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (QS 2:216)


Segala penyusunan yang manusia buat meski dia anggap yang terbaik untuk dirinya, namun pengetahuan Allah lebih luas dalam segala perkara terutama yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Oleh itu, kadangkala Allah beri apa yang kita tidak pinta dan boleh jadi tidak kita suka namun ia amatlah baik buat diri kita.


Tambahan lagi, jika Allah tangguhkan permintaan kita, sebenarnya Dia ingin kita berterusan meminta kepada-Nya kerana amat menyukai rintihan yang menggambarkan kerendahan hati pada-Nya. Mungkin juga jika Allah makbulkan permintaan kita secara serta-merta kita akan mudah lupa pada-Nya terutama selepas mendapat nikmat. Maka di sini sebenarnya terselit kasih sayang-Nya kepada kita dengan tidak mahu kita berjauhan dengan-Nya.


Selain itu, jika teliti semula, bermula daripada kita dilahirkan hingga apa yang kita ada sekarang telah banyak berlalu nikmat-Nya kepada kita. Bahkan tidak terdaya untuk kita mengekspresiasi rasa syukur atas segala nikmat tersebut. Dalam  masa yang sama, ia tidaklah menghalang kita untuk meminta dan terus meminta kerana sesungguhnya Dia Maha Kaya...



Wallahu`alam

WANITA

GIRL





Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga, tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena. 


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan. 


Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. 


Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya. 


Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci. 


Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa. 


Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. 


Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya. 


Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. 


Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. 


Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama. 


Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.



Wallahu`alam

AKU DAN WAKTU






Selalu ada beza di antara mimpi dan pencapaian atas sesuatu perkara...



Ada lubang waktu yang tercipta di antara sebab dan munculnya akibat. Dan di antara segalanya itulah, ada banyak perkara yang dapat kita dengar, lihat dan rasakan. 



Ada banyak rasa disana... gembira, bahagia, takut, sedih dan mungkin kehampaan....



Pada akhirnya, setiap manusia mempunyai tempat pelarian yang sama, iaitu Allah swt yang Maha Mulia...



Dan disini, saya hanya belajar untuk mengungkapkan rasa-rasa itu. Belajar membahasakannya dan tidak sekadar memainkan jari diatas papan kekunci...



Inilah cara saya menghubungkan setiap ruang dan lubang waktu yang ada. Inilah wujud lain dari usaha saya dalam merentasi mimpi, doa dan peristiwa...




Wallahu`alam

Wednesday 20 May 2015

UJIAN DAN HALANGAN





Aku mahu sentiasa mencintai, meratapi , menangisi sebuah kehidupan yang pasti ada kesudahan...


Hatiku yang sentiasa di lewati duka dan nestapa, rindu dan bahagia telah meragut segenap jiwaku untuk menanti-Nya...


Kadar sebuah duka yang tidak tertanggung dibayar tunai oleh kasih yang menggunung...


Kudus kasih ini pasti di meterai perpisahan yang hakiki, namun, kukuh cinta ini bertemu Kasih pasti...


Aku tidak akan tega lagi melatah dan meraung sakitnya melukakan segenap jiwa...


Aku akan terus meredah laut duka dan bahagia ini demi cinta-Nya, walau badai lautan menghentam aku karam...


aku lemas...


Namun teguh hati ini tidak meranapkan kecewa kesakitan...


Aku tetap menanti dan menadah cinta-Nya, walau setitik jiwaku hitam kelam...


Jurai air mata ini tidak dapat aku tahan, umpama hujan meratap pilu dosa yang aku lakukan...


Ya Robb...ampunkanlah dan maafkanlah diri hamba Mu yang penuh dosa ini...



Wallahu`alam

Tuesday 19 May 2015

DIA TETAP SEORANG HAWA





Dia tetap seorang hawa...



Dan seorang hawa masih memerlukan seorang adam untuk membimbingnya. tapi bagaimana? si lelaki berfikir sejenak...



Pada pandangannya wanita itu perlu dihormati, bukan sekadar disayangi. hormat itu daripada akal. Sayang itu daripada perasaan. Akal akan sentiasa rasional dan kembali meletakkan sesuatu pada hakikat, pada kebenaran. 
Perasan pula selalu berubah-ubah malah kadang-kala terdorong nafsu.

Dengan menghormati wanita, seorang lelaki telah meletakkan wanita pada satu tahap yang tinggi, yang disarankan oleh Islam. Menyayangi wanita itu pula lebih banyak mudarat dari kebaikan.

Lihatlah anak muda sekarang, mudah benar menghamburkan kata sayang antara lelaki dan perempuan. Lelaki berbangga dapat memiliki seorang perempuan, dan seorang perempuan pula bangga dirinya dimiliki oleh seorang lelaki...

Rendahkah martabat dan maruah wanita sehingga begitu mudah dijinakkan hanya dengan rupa, harta dan kata-kata manis?

Rendahkah nilai wanita jika hanya dimiliki untuk dijadikan lambang kemegahan...?

Tidak. wanita itu mulia. Wanita ada harganya yang tersendiri dan dengan menghormati wanita, harga wanita akan kembali mahal, baik di sisi manusia atau Ilahi...


Sesungguhnya kita adalah makhluk yang hebat dan dengan itu kita penuh sedar bahawa menjadi hebat itu perlu pikul tanggungjawab berat....



Wallahu`alam

Thursday 14 May 2015

AKU HIDUP BAHAGIA

TUJUH RAMUAN UNTUK AKU HIDUP BAHAGIA





Ramuan Pertama...

Aku yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa sahaja ketentuan Allah ke atas diriku. Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku. Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik...



Ramuan Kedua...

Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana dan tiada siapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya...



Ramuan Ketiga...

Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan didalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Dengan itu aku tidak di himpit kerisauan dan keluh kesah...



Ramuan Keempat...

Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih...? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan, kerisauan dan keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tidak lena, makan tiada selera dan ibadah tidak bahagia...



Ramuan Kelima...

Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang. Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini Bukankah pepatah ada menyebut, ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya’.



Ramuan Keenam...

Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah saw pernah berdoa, “ Wahai Robb-ku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami”

Ramuan Ketujuh...

Dan yang akhir, sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.

Sekadar pesan buat saudara semuslim...

Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah, Allah akan memeliharanya. Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya, sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba. Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik. Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa dan tiada permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim...



Wallahu`alam

Friday 20 March 2015

4 IMAM 4 JEMAAH



Syeikh al-Qadhi Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Lawati (704 – 779H / 1304 – 1377M) atau terkenal dengan gelaran Ibnu Battutah rahimahullah dalam catatan perjalanan beliau yang dikenali dengan “Rehlah Ibn Battutah” atau jodol sebenarnya “Tuhfah an-Nuzzar fi ghara`ib al-amsar wa `aja`ib al-asfar” yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Syed Nurul Akla dan Dr. Adi Setia dengan jodol “Pengembaraan Ibn Battutah”, pada halaman 183 – 184 di bawah subtopik “Adat yang diamalkan oleh penduduk Mekah dalam solat dan kedudukan Imam-Imam Mazhab” dinyatakan, antara lain:-


Berbanding dengan 3 orang imam yang lain, imam Mazhab Syafi`e diberikan penghormatan untuk memulakan solat di Maqam yang mulia, iaitu Maqam al-Khalil Ibrahim AS dan di Hatim yang cantik serta khusus untuk beliau. Inilah antara adat dan kebiasaan penduduk Mekah. Imam Mazhab Syafi`e ini dilantik oleh pihak pemerintah. Kebanyakan penduduk Mekah berpegang pada mazhab ini. …………


Apabila imam Mazhab Syafi`e selesai menunaikan solat, imam Mazhab Maliki pula menunaikan solat di sebuah mihrab yang menghala ke Rukun al-Yamani. Imam Mazhab Hambali juga akan mendirikan solat pada waktu yang sama di satu tempat yang menghala ke sebahagian daripada dinding Kaabah, iaitu di antara Hajar al-Aswad dengan Rukun al-Yamani.


Akhir sekali, imam Mazhab Hanafi pula menunaikan solat di satu tempat berhadapan dengan pancuran (mizab), iaitu di bawah satu ruang berpagar yang disediakan untuknya. Lilin akan diletakkan di hadapan imam-imam ini di mihrab mereka semasa mendirikan Solat Subuh, Zuhur, Asar dan Isyak.


Semasa Solat Maghrib, mereka akan bersembahyang serentak dan setiap imam akan bersembahyang dengan pengikut-pengikutnya. Akibatnya, orang ramai menjadi keliru. Adakalanya seseorang yang bermazhab Maliki akan rukuk bersama-sama dengan imam Mazhab Syafi`e dan seseorang yang bermazhab Hanafi pula menurut sujud pengikut Mazhab Hambali. Kamu dapat melihat mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada suara muazzin yang memperdengarkan bacaan kepada pengikutnya supaya mereka tidak lalai dan membuat kesilapan.


Begitulah keadaan solat di Masjidil Haram yang disaksikan oleh Ibnu Battutah yang hidup pada kurun yang ke-8H. Keadaan tersebut berterusan ratusan tahun lagi sehinggalah kejatuhan Kekhalifahan Utmaniyyah Turki dan Hijaz dijajah oleh puak Wahabi dari Nejd.


Kenapa umat Islam pada masa tersebut dan ratusan tahun setelahnya, tidak bersolat di bawah seorang imam dalam Masjidil Haram yang mulia. Adakah kerana mereka tidak bersatu dan kerana mereka terlalu taksub dengan mazhab masing-masing? Sesungguhnya tidak, tetapi kerana mereka tidak bersikap taksub dan fanatik dengan mazhab masing-masinglah maka perkara tersebut terjadi. Ini jelas kerana setiap mazhab tidak saling menyalahkan antara sesama mereka, mereka saling hormat menghormati pendapat pihak lain selagimana ia berdasarkan kepada ijtihad yang diterima dan mereka tidak ingin hendak memaksa mazhab mereka kepada orang lain. Dan hal ini terjadi di Masjidil Haram kerana ia adalah milik umat Islam keseluruhannya, Tanah Haram bukan milik pengikut Mazhab Syafi`e, walaupun mazhab ini adalah mazhab yang paling dominan di Hijaz. Maka atas adab dan tasamuh yang tinggi, para penguasa Hijaz yang bermazhab Syafi`e tidak memaksa mazhab mereka kepada pengikut mazhab lain, sebaliknya setiap mazhab Ahlu Sunnah wal Jamaah diberi ruang untuk beribadah dalam Masjidil Haram mengikut pandangan dan pegangan mazhab masing-masing.


Patutkah kita memaksa para pengikut Hanafi untuk sembahyang Asar bersama dengan kita sedangkan menurut mazhab mereka waktu Asar masih belum masuk lagi? Sudah tentu tidak patut dan tidak adil bagi mereka. Yang patut dan wajar, kita biarkan mereka menunaikan solat Asar setelah masuk waktunya di sisi mereka. Sungguh keberadaan solat 4 Imam dengan jemaah masing-masing tersebut membuktikan sikap tasamuh dan toleransi sesama umat yang tinggi. Malangnya, segelintir dari kita telah silap kerana beranggapan bahawa ia sebagai tanda ummah berpecah belah.


Apakah benar ketika itu umat Islam menjadi berpecah-belah? Jawapannya adalah sebaliknya, kerana sejarah telah membuktikan bahawa ketika itu, umat Islam adalah umat yang bersatu dan kuat sehingga menguasai dunia.
Lain pula halnya sekarang ini, walaupun umat Islam bersolat di Masjidil Haram di bawah seorang imam sahaja yang pada zahirnya nampak bersatu tetapi hati-hati mereka telah berpecah belah dengan saling salah menyalah sesama umat. Kesatuan dan perpaduan itu berakhir dengan salamnya imam… Allahu … Allah. Oleh itu, kekuatan umat Islam adalah pada kepelbagaian pendapat yang ditangani dengan sikap tasamuh yang tinggi serta saling hormat-menghormati. Di situlah kunci perpaduan yang sejati.


Ketahuilah bahawa Masjidil Haram itu milik seluruh umat. Mungkin sekarang sudah tidak praktikal untuk solat dengan 4 jemaah berasingan sebagaimana zaman tersebut kerana bilangan pengunjung masjid yang bertambah. Moga umat Islam hari ini akan menjadi lebih bertasamuh dalam perkara-perkara khilafiyyah. Mudah-mudahan keagungan Islam dan umatnya dikembalikan dan Islam terus menerajui manusia sejagat …. Wallahu`alam. 

Jagalah Hati...

DAKWAH ADALAH CINTA


Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?


Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”


Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.


Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.


Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Pendakwah Akal Faqih.


Bagi kita yang berperanan sebagai Pendakwah, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi saw untuk para Pendakwah.


Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda saw menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi,  “Seek First  to Understand, Then to be Understood“.


Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.


Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Pendakwah tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.


Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar, iaitu masalah sikap dan akhlak.


Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadis kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadis.


Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”


Seorang Pendakwah yang berjiwa Pendakwah akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa.


Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?



Jagalah Hati....