Powered By Blogger

Wednesday 22 October 2014

PEREMPUAN

KEHEBATAN SEORANG WANITA



” kalau beginilah sakitnya melahirkan anak, cukuplah kali ini. Sayang tak perlu mengandung lagi sebab abang tak sanggup nak tengok..”

Salah satu dialog dalam sebuah kisah, yang saya sendiri lupa dari mana saya baca. Yang pasti, kisah itu pernah dibaca sewaktu saya masih bujang. Saya berfikir sendiri, sakit sangatkah proses kelahiran itu? Dan saya pasti, bukan saya seorang berfikir seperti itu.
Hari ini, selepas sembilan bulan.
Sedar tak sedar, kandungan isteri sudah berada di trimester terakhir, bahkan sudah berada dalam fatrah boleh bersalin bila-bila masa sahaja. Tarikh secara rasmi pula hanya berbaki dua hari. Dan saya, menjadi peneman setia kepada segala apa yang dilalui oleh isteri sepanjang tempoh mengandung. Sekaligus, saya mendapat jawapan kepada semua soalan saya ketika bujang.
Hakikatnya saya dan kaum saya sama sekali tidak akan mampu menyelami kesakitan tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lalu timbul satu lagi persoalan, mengapa Allah takdirkan mengandung itu hanya untuk perempuan?
Firman Allah ta’ala :
Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang bathil, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah? (An Nahl : 72)
Menjadi hikmah Allah, tidak ada lelaki yang boleh mengandung walau sehebat mana pun dia. Dan menjadi hikmah Allah juga, hanya wanita boleh mengandung walau selemah mana pun mereka. Tentunya, Allah lebih tahu, siapa yang lebih mampu untuk menanggung beban dan amanah tersebut.
Merenung kehebatan Allah ini, banyak iktibar yang boleh diambil.

KEKUATAN DAN KEINGINAN MENYUMBANG
Di hadapan mata saya, seorang wanita membuktikan hakikat tersebut. Ketabahan dan kesabarannya selama sembilan bulan, menyedarkan saya bahawa ‘kekuatan’ itu ukurannya bukan pada tenaga fizikal semata-mata. Tetapi kekuatan hati dan tekad dalam diri mereka.
Kaum wanita, adalah kaum yang cukup istimewa. Cara mereka berfikir dan bertindak, adakala jauh lebih baik dari lelaki. Hasil kerja mereka seringkali lebih kreatif dan teliti. Paling hebat, komitmen mereka terhadap cinta dan kasih sayang dalam kehidupan.
Akhir-akhir ini, saya sendiri tidak sanggup melihat kesakitan yang dialami tatkalacontraction menyerang. Belum lagi tentang sakit pinggang, sakit kaki dan sakit belakang, akibat membawa beban berkilo-kilo selama berbulan-bulan. Namun dia bukan seorang yang cepat mengalah dan memilih untuk berada di pembaringan. Kudratnya tetap dikerah meskipun ditegah. Keinginannya untuk menyumbang adakala membuatkan saya pasrah.

Lantas teringat perbualan dengan seorang teman tidak lama dahulu. Waktu itu saya bertanya perasaannya setelah bergelar bapa.
” Memang penat. Namun penat menguruskan si kecil jauh lebih ringan berbanding penat ‘menguruskan’ isteri..”
Di awalnya, saya tidak dapat menangkap maksud tersirat. Rupanya, sesetengah wanita berperang dengan tekanan tersendiri selepas bersalin, iaitu tekanan kerana tidak dapat menyumbang dan meringankan bebanan. Daripada menguruskan diri, menguruskan rumah dan menguruskan bayi, kesemuanya terbeban di atas bahu suami. Isteri di waktu itu tidak mampu melakukan kerja, perlu banyak berehat apatah lagi jika masih terkesan dengan rasa sakit.
Jika kurang ketahanan dan motivasi, isteri boleh mengalami kemurungan dan kesedihan berpanjangan, biarpun suaminya mampu melakukan semua pekerjaan. Situasi ini akan merumitkan keadaan jika ianya berlarutan.
Mengingatkan ini, saya beristighfar berkali-kali. Wanita itu, sudah sembilan bulan menanggung beban. Sudah berpuluh kali menahan kesakitan. Dan nantinya, bertarung dengan mati pula untuk proses kelahiran. Sedangkan saya sebagai lelaki, hanya mampu melihat dan memberi sokongan. Langsung tidak mampu merasai apa-apa kesakitan. Apakah setelah itu, di waktu tangisan si kecil sudah kedengaran, tubuh yang lemah itu juga hendak diletakkan beban?
Dia wanita yang kuat dan cekal. Bulan-bulan yang dilalui, hari-hari yang ditempuhi, menjadikan saya seolah-olah mahu angkat tabik kepada isteri. Alangkah jika semua itu ditanggung dan dirasai oleh lelaki, pasti dan pasti tidak akan mampu diharungi sehingga ke saat ini.
Lama sebelum ini, dengan yakin beliau menyatakan untuk mengkhatamkan Al-Quran, sebagai ‘hadiah’ untuk si kecil yang bakal lahir nanti. Berjuang dengan sakit dan menghabiskan masanya dengan Al-Quran, beberapa hari lepas dengan wajah berseri-seri dia memberitahu Al-Quran telah khatam dan meminta saya membacakan doa khatam Al-Quran untuknya.
Tekad dan semangat yang menakjubkan saya. Sedang yang sihat, Al-Qurannya tidak pula kunjung khatam.

TEMAN

” Siapa akan jaga nanti berpantang? “

Itu soalan lazim dari sanak saudara di Malaysia, bila diberitahu tarikh bersalin sudah dekat. Dan saya, jujurnya tidak pernah memikirkan tentang itu secara serius. Saya tidak mengharapkan untuk orang lain jaga kerana saya ada. Tentunya tidak sama dengan keadaan di tanahair, di mana ada keluarga yang akan menjaga.
Memilih untuk bersalin di tanah arab, bererti bersedia menerima bahawa semua itu memang tidak ada.
Namun Allah datangkan juga insan-insan yang baik hati memberikan perhatian dan pertolongan. Saya terkesan dengan seorang sahabat kepada isteri, berpangkat adik. Meskipun tidak kenal rapat sebelumnya, namun begitu akrab dengan kami. Dari kacamata saya, tingkahlaku seseorang itu sudah cukup mencerminkan keikhlasannya. Pertolongan yang dihulur dan perhatian yang diberi, benar-benar menjadikan kami senang hati.
Isteri meluahkan rasa terharu dan saya tersenyum. Bukan semua orang punya hati seperti itu. Menolong orang tak mengira siapa dan sanggup bersusah payah untuk orang lain biarpun diri sendiri banyak kerja. Yang ramai, waktu senang datang bertempek namun tika perlukan pertolongan, menjauh entah ke mana.
Saya doakan, insan-insan seperti ini diberikan pertolongan dan rahmat berpanjangan dari Allah ta’ala. Saya teringat satu hadith Nabi s.a.w bersabda :
” Dan sesungguhnya Allah sentiasa akan menolong hamba-Nya, selagi mana hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya yang lain “

MOTIVASI

Dalam tidak sabar menunggu tangisan si kecil kedengaran, saat-saat getir sebelum proses kelahiran juga perlu diberi perhatian. Mahu berada di situ, perlukan motivasi dan semangat yang kuat. Dan saya dan keluarga, tidak putus memberikan semangat kepada isteri. Kini contraction sudah semakin kerap, dan berkemungkinan akan bersalin sedikit masa lagi.

Melihat wajahnya saja, saya yakin akan kekuatan dari dalam diri wanita tersebut. Nantinya akan ku bisikkan kepada si anak, bahawa ibumu adalah seorang pejuang yang penuh kental dengan keazaman. Dan catatan ini kelak akan menjadi tatapan, apabila engkau sudah dewasa dan mula mengenal erti kehidupan.

Wallahu`alam...


SAAT INI





Ya Allah! disaat ini, aku benar-benar terasa hanya Engkau segalanya..ya Allah! mungkin ini kasih Mu kepadaku...



aku pohon kekuatan... Engkau berikan aku ujian.



aku pohon kesabaran... Engkau berikan aku dugaan.



aku pohon cinta Mu dan selalu dekat dengan Mu, Engkau berilah aku kekuatan dan ketabahan buat bekal dalam menempuhi segala yang mungkin.



Ya Allah! jika inilah jawapan pada doaku... ku masih memohon...



ku mohon agar Engkau terus berada di sisi..memandang aku dengan kasih sayang Mu.. memberikan aku jalan untuk menghadapinya...



ku mohon agar Engkau tuntuni setiap langkahku agar aku tidak tersasar di tengah jalan...

ku mohon agar Engkau terus berada dalam hatiku.. agar aku dapat melihat semua ini adalah dari Mu.. agar aku dapat menerima semua ini dengan hati terbuka.. dengan senyuman.

Ya Allah! berilah aku kekuatan, kesabaran dan ketabahan..ujian ini tidak seperti ujian yang Engkau timpakan buat Nabi dan Rasul Mu.. aku hanya mampu bermohon agar Engkau sentiasa bersamaku.. tidak membiarkanku melangkah sendirian.. tidak dalam sekelip mata atau kurang dari itu.. nescaya aku akan lelah dan lemah...



Ya Allah! hanya cinta Mu yang aku dambakan..
Engkau menunjukkan kepadaku..tiada hebatnya manusia di mata ku..
tiada setianya seorang manusia berada di sisi..
tiada kasihnya seorang manusia berada di sisi..
tiada yang lebih setia dan tiada yang lebih kasih..
tiada yang lebih mendorong ku melainkan Mu..
hanya Engkau setia di sisi... susah dan senang..
aku yang terkadang leka dengan duniawi..



Ya Allah! tiada cinta seindah cinta Mu..
Ya Allah! tiada yang lebih hebat dari Mu..
bercinta dengan Mu tidak akan pernah kecewa..
ku akui ya Allah!



ingin memiliki cinta Mu juga bukanlah mudah..
kerana cinta Mu cinta sejati..
kerana cinta Mu cinta mati..
maka harga maharnya terlalu mahal..
aku perlu sakit untuk memiliki cinta Mu...



Ya Allah! aku pinta cinta Mu...
bantulah aku..
permudahkanlah...



Amiin...

Aurat Perempuan

TUBUH MU ADALAH PERHIASAN...





Salam khusus buat saudari semuslimku yang baik hati...



Sesungguhnya aurat tidak akan tertutup dengan sifat lemah lembut, tidak akan tertutup dengan perangai baik, tidak akan tertutup dengan kata-kata yang baik dan tidak akan tertutup dengan solat... tetapi akan tertutup dengan PAKAIAN yang SEMPURNA...



Sesungguhnya Allah swt menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita...



Bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah swt yang Maha Pemberi Rahmat. Bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah swt...



Wahai saudari semuslimku yang baik hati... ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup Sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini. Ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya. Ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan. Ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan dan semuanya menangis.


Mereka menangis kerana hari itu Allah swt murka! Belum pernah Allah swt murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah swt di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil Hari Hisab.


Wahai saudari semuslimku yang baik hati... bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung... Allah swt...

SURAT CINTA UNTUK ISTERIKU





Aku berusaha untuk mencapai keadaan yang lebih baik dari kelmarin. Walau pun tidak seutuhnya baik, namun sebuah usaha adalah bukti keseriusan...



Malam ini, ketika dikau tidur, aku membuat sebuah puisi. Yang nantinya ku selipkan di celah dompetmu dan aku berharap engkau membacanya ketika merasa muak denganku...



Aku berikan secarik kertas yang ku tulis dengan tinta kesedaran dan pemahaman. Sehingga dikau merasakan betapa dalam ketulusan hati ini ketika merayap, meresap dan menatap kesabaranmu dalam mendampingiku...



Sebuah makna kesetiaanmu bagiku...



Dalam tidur pulasmu, aku temukan goresan rasa di wajahmu...



Rasa yang membuat hidupku terus berjalan mengiringi waktu...



Rasa yang menjalankan kakiku untuk terus bergerak... bergerak menyusuri jalan yang engkau pukat dengan kesabaranmu



Rasa itu begitu kuat menyelimuti wajahmu sehingga menyebar menjadi rangkaian aura kecantikan bagiku. Ia ikut menghiasi perjalanan yang penuh dengan kejenuhan dan rasa itu yang merubah kejenuhan ini menjadi kedamaian...



Isteriku... dikau yang memiliki dan menorehkan rasa. Perlu engkau tahu... apakah rasa itu rasa yang engkau berikan kepadaku yang tanpa kau sedari rasa cinta dari hatimu dan batinmu bukan dari matamu...

rasa cinta itu yang membuat aku tetap disampingmu dan berusaha tetap disampingmu...



Salam kasih dari suamimu.....

DENGAN HATI





“ALHAMDULILLAH… dia dah meninggal”, begitu ungkapan ahli paramedik yang datang dengan ambulan ke hotel tempat aku menginap di Madinah Al Munawwarah sebaik memeriksa denyut nadi isteri Haji Seman di bilik mereka. Aku pergi kepada Haji Seman dan berbisik di telinganya mengkhabarkan pemergian isteri beliau kerana aku kira dia tidak faham ungkapan itu yang disebut dalam Bahasa Arab.


Sebak Haji Seman tidak dapat ditahan, langsung bercucuran airmatanya ke bahuku. Hening pagi Jumaat itu begitu mendamaikan walau pun rancangan asal aku nak berqiamullail di Masjid Nabawi bersama Haji Seman pada jam tiga pagi tergendala lantaran kematian isterinya. Sempat aku memandang wajah isteri beliau di pembaringan yang seakan tersenyum tenang sewaktu jenazahnya diangkat ke ambulan untuk disahkan kematiannya di hospital.


Tiga hari sebelum itu sewaktu di KLIA aku sempat berbual dengan isteri Haji Seman yang juga rakan kepada ibuku. Memang lembut tutur katanya meminta aku tolong tengok-tengokkan dia dan suaminya sebab dia tidak begitu sihat. Aku diberitahu yang dia ada darah tinggi dan kencing manis. Hanya setibanya kami di Karachi, Pakistan sewaktu transit dalam perjalanan pergi baru aku diberitahu oleh Haji Seman perihal isterinya yang baru menjalani pembedahan mata buat kali ke-8.


Kami transit dua hari satu malam di Karachi. Pada pagi hari kedua, Haji Seman meminta aku tolong carikan klinik untuk memeriksa keadaan isterinya yang muntah setiap beberapa jam selepas makan semenjak dari KLIA. Aku beritahu doktor yang memeriksa makcik ini ada darah tinggi dan kencing manis. Hasil pemeriksaannya mengatakan keadaan makcik stabil termasuk tekanan darahnya. Rumusan doktor mengesyorkan kami mendapatkan ubat mabuk penerbangan dari farmasi kerana keadaan makcik tidak serius.


Sesampai di Jeddah, kesemua 99 jemaah Umrah bersamaku dijamu dengan makanan yang telah siap dibungkus oleh pihak katering muassasah. Makcik yang semakin lesu dalam perjalanan masih cuba menyuap nasi yang disediakan, namun selepas beberapa jam dalam perjalanan kami menuju ke Madinah, dia muntah lagi. Mujur suaminya Haji Seman sentiasa disisi melayani makcik dengan penuh kasih sayang meskipun mereka sudah berpuluh tahun hidup bersama.

Kami sampai di Madinah yang bercahaya pada awal pagi Khamis. Selesai semua jemaah aku aturkan bilik masing-masing, Haji Seman mengajak aku cari klinik untuk memeriksa isterinya sekali lagi. Mahu sahaja aku setujui permintaan Haji Seman sewaktu kami pulang dari solat subuh di Masjid Nabawi, tetapi oleh kerana kami semua kepenatan akibat perjalanan yang meletihkan, aku mencadangkan agar makcik dibiarkan istirehat dahulu sambil memakan ubat mabuk yang dibeli sewaktu di Karachi.

Selepas asar aku menuju ke klinik berhampiran bersama Haji Seman, tetapi doktor yang bertugas tidak ada. Pembantu klinik mencadangkan kami terus ke hospital sekiranya keadaan serius. Haji Seman mengalah untuk tidak ke hospital kerana keadaan isterinya tidak nampak terlalu serius. Aku teringat sebuah hadis yang diceritakan oleh Mutawwif kami tentang khasiat Kurma Nabi, lalu aku cadangkan Haji Seman membeli sedikit Kurma Ajwa untuk diberikan kepada makcik.

Sewaktu makan malam di hotel sesudah solat Isyak, aku bertanyakan khabar makcik dengan Haji Seman. Alhamdulillah dia sudah makan tiga biji dari keseluruhan tujuh biji yang aku cadangkan untuk dimakan berdasarkan Hadis Rasulullah saw berkenaan khasiat Kurma Nabi untuk menawar penyakit dalam perut. Haji Seman turut bercerita berkenaan keputusannya membawa isterinya untuk Umrah kali ini kerana nazarnya sewaktu Umrah sebelum ini yang berhasrat mahu membawa makcik seandainya pembedahan mata kali ke-8 berjaya memulihkan pandangannya yang semakin hilang.

“Anak-anak ada yang kurang setuju saya bawa mak dia kali ini sebab baru sebulan matanya dibedah. Tapi Alhamdulillah saya nekadkan juga sebab memang kali ini pandangan matanya bertambah baik”, ujar Haji Seman. “Lagipun kali ini memang saya bernazar, jadi saya fikir inilah kesempatan terbaik untuk saya Umrah berdua dengan makcik”, tambah Haji Seman yang sudah mencecah usia 60-an pada masa itu sambil tersenyum.

Dari hospital aku dan Haji Seman dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kematian sambil menyerahkan passport makcik. Kami akhirnya solat subuh pagi Jumaat itu dibalai polis berkenaan. Sambil menunggu laporan disiapkan, Haji Seman menyatakan kebimbangan bagaimana urusan penyelenggaraan jenazah makcik harus diaturkan sebab kami orang Terengganu yang sedang bermusafir di bumi Madinah yang bertuah.

Aku bertanya kepada Sarjan yang bertugas dan jawapannya begitu mudah. “Tak mengapa, jangan risau… segala urusan jenazah ini akan ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi”. Lalu aku bertanya lagi, “apa yang kami sebagai ahli keluarga makcik ini perlu lakukan?”. Sambil tersenyum Sarjan berbangsa Arab itu menjawab, “duduk dulu, nanti saya buatkan teh. Lepas ini kami hantarkan ke tempat urusan jenazah, ok?”.

Kereta peronda polis yang membawa kami ke tempat urus jenazah meluncur sesudah selesai urusan di balai. Sesampai di situ, aku bertanya kepada lelaki pertengahan umur yang menguruskan tempat itu berkenaan sebarang bayaran urusan yang perlu. “Tidak… tidak… tidak ada sebarang bayaran. Semuanya ditanggung pihak kerajaan” ujarnya menolak sebarang pemberian wang kerana Haji Seman dilihatnya sedang mengeluarkan beberapa ratus riyal dari dompet.

“Sebelum Zuhur hari ini, jenazah akan dibawa ke masjid. Duduklah berehat sahaja di sini sebab hari ini Jumaat. Pergi sahaja ke Masjid dengan jenazah kerana pastinya Masjid Nabawi akan penuh”, begitu cadangan Tuan Pengurus Pusat Pengurusan Jenazah Madinah Al Munawwarah kepada kami. Jam di dinding baru menunjukkan lewat 9:30pagi. Kami memutuskan untuk terus sahaja berada di situ mengikut cadangan Tuan Pengurus.

Haji Seman duduk di sebelahku. Beberapa minit kemudian, Tuan Pengurus keluar dari pejabatnya sambil membawakan dua gelas teh susu panas untuk kami berdua selain dua botol air mineral sejuk. Setelah Tuan Pengurus beredar aku bertanya kepada Haji Seman bagaimana keadaan makcik sebelum meninggal. Haji Seman tenang bercerita yang dia sendiri tidak nampak sebarang kelainan pada diri makcik malam itu selain kelesuan mabuk kapal terbang dan muntah segala makanan yang dimakannya.

“Malam tadi balik dari Isyak, saya bagi kurma Ajwa kepada makcik”, tutur Haji Seman memulakan cerita. “Saya tengok dia nampak lemah, jadi saya suapkan. Sempat habis tiga biji, saya berikan air zam-zam yang saya ambil di Masjid tadi. Alhamdulillah lepas itu dia baring semula sambung berehat. Tengah malamnya saya terjaga sebab nak tengok kalau-kalau makcik muntah lagi. Nampaknya dia rehat saja. Saya ke bilik air, bila saya selesai makcik dah terjaga. Dia tanya saya, abang sejuk ke? Kalau sejuk matikan aircond bukakan tingkap. Saya matikan aircond dan bukakan tingkap sebab saya kira mungkin dia yang tak tahan aircond”, sambung Haji Seman.

“Awak nak minum air?” Haji Seman bertanya kepada makcik. “Boleh juga”, jawab makcik ringkas. “Saya ambilkan jus oren dan bagi dia lepas saya bukakan penutupnya. Dia minum separuh saja”, cerita Haji Seman kepada aku bersambung lagi. “Lepas minum, makcik panggil saya duduk di birai katil sebab dia nak baring di pangkuan saya. Kami berbual kosong perihal anak-anak dan lain-lain pengalaman berumahtangga sejak mula berkahwin sambil diiringi ketawa kecil. Berborak suami isterilah kan…” terserlah senyum Haji Seman sambil bercerita.

“Dia tak muntah lagi lepas tu?” tanyaku menyelangi cerita Haji Seman. “Alhamdulillah memang tak muntah lepas makan kurma Ajwa sama air Zam-zam” jawab Haji Seman melayan soalan aku. “Kami terus berbual hingga jam 2:30 pagi. Lepas tu saya bagitau makcik yang saya bercadang nak qiamullail sambil nak mendoakan agar dia terus sembuh sebelum saya ke bilik air semula. Saya letakkan semula kepala makcik atas bantal. Saya tengok dia macam biasa je… sempat dia senyum sebelum saya masuk bilik air”. Suara Haji Seman seakan tersekat di kerongkong apabila ceritanya sampai di sini.

“Bila saya keluar dari bilik air, saya tengok makcik tidur… saya biarkan saja sambil bersiap nak ke Masjid macam yang kita janjilah kan…” Haji Seman mengungkit janjinya untuk qiamullail di Masjid Nabawi bersama aku. “Hampir jam tiga pagi saya tengok makcik macam tidur, tetapi saya tak nampak macam dia bernafas. Saya panggil dia tapi dia diam tak jawab. Saya gerakkan dia pun tak ada jawapan…” Haji Seman berhenti sekali lagi dari bercerita.

Aku terdiam sejenak sambil berdetik di hati kecilku betapa romantiknya pasangan tua ini sehingga hujung nyawa si isteri. Beruntungnya Haji Seman beristerikan makcik ini. Tegar makcik berbual di pangkuan suami sambil bercerita dengan ceria demi mengembirakan lelaki pujaan hatinya meskipun ajalnya bakal berselang selepas beberapa ketika. “Ini benar-benar kisah Cinta bersulam CINTA Sang Pencipta” ujar hatiku berbisik sendiri.

“Macamana nak usung jenazah ke liang lahad nanti? Siapa yang gali liang? Siapa yang akan tolong kita nanti?” bertalu soalan Haji Seman kepada aku. Meskipun aku tak punya jawapan yang pasti, dengan yakin aku menjawab, “Takpe Haji… Insya Allah semuanya akan tersedia. Aku jadi begitu yakin kerana segala urusan setakat ini begitu lancar tanpa sebarang masalah malah terasa seakan kami dimuliakan sepanjang urusan dengan layanan yang ramah dan mesra. Memang terasa nak sangat bertanya kepada Haji Seman apa agaknya amalan makcik semasa hidupnya sehingga matinya begitu?

Jam 11:30 pagi, kereta buggy yang membawa jenazah sampai di pusat itu. Selesai jenazah diangkat ke atas kereta, kami berdua diajak ikut bersama menuju ke Masjid. Kami masuk melalui pintu Imam dan langsung di suruh duduk di dalam saf kedua meskipun pada masa itu Masjid sudah mula penuh. Bersungguh anggota polis menyuruh jemaah sedia ada memberikan ruang duduk untuk aku dan Haji Seman. Kami solat Jumaat berselang sebaris di belakang Imam Masjid Nabawi.


Selesai solat, bilal menyeru jemaah untuk solat jenazah. Sekali lagi kami terasa diberikan keistimewaan apabila Imam menoleh ke belakang dan bertanya, “wein sahibul janaiz?” (maksudnya - mana keluarga jenazah?). Kali ini Imam menunggu sehingga kami berdua berdiri betul-betul di belakangnya untuk menyembahyangkan jenazah makcik bersama puluhan ribu jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Nabawi. Rasanya bagi sesiapa yang pernah ke sana, pasti nilai situasi ini sukar digambarkan perasaannya.

Selesai solat jenazah diangkat beramai-ramai menuju ke tanah perkuburan. Persoalan yang Haji Seman bimbangkan tentang siapa yang akan tolong usung jenazah terjawab sehingga aku dan dia sendiri terpaksa berlari sedikit mengiringi jenazah yang dipikul tangan-tangan para jemaah saudara seIslam dari seluruh dunia dengan begitu pantas sekali.


Keistimewaan urusan jenazah makcik tidak habis di situ. Aku dan Haji Seman terus mengiringi jenazah sehingga ke liang yang tersedia untuknya di dalam Perkuburan Baqi’. Ya benar… liang lahad makcik tersedia di kawasan perkuburan yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi’ yang bermaksud Syurga Baqi’ di kalangan ahli Madinah kerana di tanah perkuburan ini juga bersemadinya ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga seorang lelaki paling mulia pernah hidup di dunia bernama MUHAMMAD BIN ABDULLAH, pesuruh ALLAH yang disebut namanya di dalam kalimah syahadah.

Penggali kubur menghentikan jenazah dari terus diturunkan sambil berteriak, “wein sahibul janazah?”. Sekali lagi Haji Seman ditunggu untuk turun ke dalam liang menyambut jenazah isteri tercinta sebagai penghormatan buatnya bersama si isteri di dunia ini. Aku hanya memerhati di tepi liang lahad kali ini sambil hatiku terus meruntun mahu bertanya kepada Haji Seman apa sebenarnya amalan makcik semasa dia hidup bersamanya sehingga sampai begini mulia layanan ke atas jenazahnya.

Selesai sudah urusan jenazah makcik di bumi Madinah yang penuh barakah. Haji Seman meneruskan umrahnya dan melaksanakan umrah gantian untuk niat arwah isterinya. Aku diminta menemankan Haji Seman kerana dia rasa selesa kalau aku terus bersamanya. Di Makkah akhirnya aku tak mampu tahan keinginanku untuk mengetahui amalan atau sikap kehidupan arwah makcik bersama Haji Seman lalu aku mengajukan soalan.

“Haji, mintak maaf saya nak tanya ya… Arwah makcik dulu masa hidupnya selalu buat apa?” cetusku bertanya kepada Haji Seman pada suatu malam sewaktu kami pulang ke bilik hotel setelah selesai solat Isya di Masjidil Haram. “Hmmmm… entahlah. Tak ada yang terlalu istimewa kalau saya nak cerita. Arwah makcik tu orang biasa je”, agak kecewa aku dengar jawapannya tapi aku yakin mesti ada jawapan lain. “Cuma satu perkara yang saya rasa paling saya tak boleh lupa pasal arwah”, tambah Haji Seman. “Apa benda tu Haji?”, berbunga hati aku rasa nak tahu juga apa ceritanya.

“Masa saya mula-mula kahwin dengan arwah, hidup kami susah… Tapi Alhamdulillah saya dapat juga buka kedai runcit kecil, jual suratkhabar dengan barang-barang kecil di sebelah pejabat imigresen. Bila rezeki makin murah saya memang jadikan amalan bagi duit pada arwah selain duit belanja rumah. Bukan apa… saya ni tak berapa pandai kalau nak belikan hadiah yang cantik ikut mata orang perempuan, jadi saya bagi duit ajelah”, aku tekun mendengar cerita Haji Seman sambil terfikir di mana agaknya bahagian amalan arwah yang istimewa.

“Arwah ni jenis yang pantang kalau orang minta tolong… mesti dia cuba juga nak tolong walaupun masa itu kami sendiri tengah susah”, aku mula terasa mungkin inilah bahagian cerita yang aku nak tahu sangat. “Setiap kali bila arwah nak bagi duit pada orang yang dia nak tolong, mesti dia tanya saya dulu… boleh ke bang? Mula-mula saya jawab ikut dialah sebab duit yang saya bagi tu dah jadi milik dia. Lama-lama sampai dah tua-tua pun dia tetap tanya atau bagitahu saya setiap kali dia bagi duit tu pada orang lain, saya jadi lali dan jawab ya sepatah je”. Haji Seman membetulkan duduk silanya di atas katil hotel sedang aku terkulat mendengar kisahnya.

“Pernah satu ketika saya cakap, duit ini saya dah bagi kat awak. Kalau awak nak pakai untuk apa saja pun saya takkan tanya sebab saya percaya awak pun boleh fikir sendiri. Lepas-lepas ni kalau awak nak bagi sesiapa pun duit awak tu, awak bagi ajelah… tak payah tanya saya pun takpa”, sambung Haji Seman lagi.

“Saya cakap macam tu sebab dah berpuluh tahun kahwin pun dia masih tanya juga. Saya ingat masa tu arwah makcik jawab, saya tanya sebab duit ni awak yang bagi saya. Jadi duit ini saya anggap amanah suami dari awak untuk saya”. Terkesima aku mendengarnya. Haji Seman menyambung, “lepas pada tu, dia masih terus tanya saya macam biasa cuma saya dah malas nak halang dia dari terus bertanya perkara yang sama sebab pada dia yang penting saya redhakan dia guna duit tu”.

Aku rasa puas mendengar cerita Haji Seman seakan persoalan yang berlegar dalam kotak fikiran aku terjawab secukupnya. Tidak hairanlah jika ALLAH menjemput arwah makcik sedemikian rupa. Dengan makanan terakhir di dunia adalah air zam-zam dan kurma Nabi yang disuapkan suami, dengan perginya setenang orang yang tidur sesudah berbual dengan suami di pangkuan, dengan segala urusan pengkebumian ditanggung sepenuhnya dan dipermudahkan, dengan disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi yang mulia dan dengan tempat semadi terpilih bersama para sahabat Rasulullah saw di Jannatul Baqi’. 


SUBHANALLAH...


Aku belajar sesuatu yang sangat berharga dari pengalaman ini. Pada masa itu tahun 2005, aku bersama 99 orang jemaah berkongsi niat untuk beribadah menunaikan Umrah. Kematian arwah makcik isteri Haji Seman mengajar aku erti sebuah percintaan dalam hidup yang diulit serba kesederhanaan tetapi penuh dengan pengajaran tentang hubungan kemanusiaan yang didasarkan atas keinginan merebut Rahmat Allah. Justeru bagi aku yang bersama Haji Seman sepanjang menguruskan jenazah isterinya, aku merasakan kami diselubungi keistimewaan menerusi sebuah kematian sedang jemaah lain masing-masing terus berharap mendapat bahagian yang diinginkan.

Bila difikirkan semula, memang aku takjub dengan cara Allah memberikan kemuliaan dan pengajaran. Mungkin jauh di sudut hati, aku terselit sedikit kecemburuan atas rahmat dan kasih sayang yang dilimpahkan. Bukan atas kedengkian, tetapi atas rasa teruja sehingga aku terasa ingin menggantikan diriku di tempat arwah isteri Haji Seman lantaran segala apa yang aku saksikan.

Hanya semudah menjaga amanah suami dengan begitu bersungguh meskipun hidup tidak dilingkari emas permata, aku sendiri menyaksi dan merasai keistimewaan menguruskan jenazah makcik ini sedemikian rupa. Sesungguhnya benar sebagaimana ucapan Hadis Rasulullah saw, “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” – Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.



Wallahu`alam