Powered By Blogger

Friday 22 May 2015

KELATE KELANTAN

Asal Usul Gelaran "Long"
Pendapat Pertama gelaran"Long" berasal dari perkataan "sulong" iaitu anak sulung. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil "long", "kak Long" atau "abang long". Sudah menjadi adat di kalangan raja-raja Melayu pula, putera sulung mereka akan mewarisi takhta. Jadi Long Gaffar adalah putera sulong Raja negeri Reman (yang terletak di Yala, Selatan Thailand hingga Hulu Perak sekarang).Pendapat yang kedua pula menyatakan riwayat lain ada menyebut bahawa gelaran Long berasal daripada perkahwinan diantara pihak lelaki yang berstatus Wan dengan pihak perempuan berstatus Raja atau Nik,ini boleh dibuktikan dengan perkahwinan Draja dahulukala dimana seorang kerabat berstatus Wan iaitu Wan Daim digelar Dato'Pangkalan Tua(Raja Patani) telah berkahwin dengan seorang kerabatnya berstatus Raja kemudian daripada ini lahirlah keturunanya yang diberi nama Long Sulong dipangil juga Tuan Sulong,Long Baha kemudian digelar Tuan Besar Jembal,Long Senik Geting kadang-kadang dipangil juga Tuan Wook dan Long Nik kemudian digelar Dato Pasir. walaubagaimana pun status kepada gelaran Engku,Wan,Tuan,Long,Nik dan Raja adalah sama tarafnya sebelum abad ke-20.Pendapat yang ketiga ini mengatakan bahawa perkataan "Long" itu berasal daripada perkataan Siam "Luang" yang bererti "Putera". Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama "Long" tanpa mengira sama ada anak sulung atau tidak. Nah..! dalam hal ini nampaknya dalam konteks gelaran Long ciri-ciri kepada kesepakatan bukti maklumat ini lebih kepada menyokong maklumat pendapat yang kedua itu. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana anaknya ialah Ngah Ibrahim). Anak-anak perempuan diberi pangkal nama Tuan di Kelantan, atau "Nan" atau "Nang" di Terengganu (dipercayai dari perkataan "Nae" bererti "puteri' dalam bahasa Siam).
-Puteri Saadong-

JIKA





Jika aku bertaubat, itu atas anugerah-Nya kepadaku
dan jika aku berbuat dosa, Dia adalah harapanku...



Jika aku berpaling, Dia menyeruku
dan jika aku menghadap, Dia mendekatkaku kepada-Nya...



Jika aku mencintai-Nya, Dia memeliharaku
dan jika aku ikhlas, Dia berbisik kepadaku...



Jika aku berbuat lalai, Dia memaafkanku
dan jika aku berbuat baik, Dia membalas dengan yang lebih baik...



Wahai kekasihku, Engkau Maha Pemurah kepadaku
maka singkirkanlah kesedihanku...



Hanya kepada Engkaulah kerinduanku
dengan segenap hatiku, lahir dan batinku...



Wahai Robb yang Maha Pemurah
dan yang paling diharapkan kemurahan-Nya



Wahai Yang Maha Penyayang yang menganugerahkan kebaikan-Nya kepadaku...




Wallahu`alam



Jagalah Hati...

TUBUH MU ADALAH PERHIASAN






Salam khusus buat saudari semuslimku yang baik hati...



Sesungguhnya aurat tidak akan tertutup dengan sifat lemah lembut, tidak akan tertutup dengan perangai baik, tidak akan tertutup dengan kata-kata yang baik dan tidak akan tertutup dengan solat... tetapi akan tertutup dengan PAKAIAN yang SEMPURNA...



Sesungguhnya Allah swt menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan mahram kita semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti. Tudung adalah salah satu perlindungan untuk wanita...



Bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah swt yang Maha Pemberi Rahmat. Bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan ‘tudung’ hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah swt...



Wahai saudari semuslimku yang baik hati... ingatlah akan satu hari di mana seluruh manusia akan dibangkitkan ketika ditiup Sangkakala yang kedua. Pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini. Ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya. Ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan. Ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan dan semuanya menangis.


Mereka menangis kerana hari itu Allah swt murka! Belum pernah Allah swt murka sebelum dan sesudah hari itu. Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah swt di Padang Mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil Hari Hisab.


Wahai saudari semuslimku yang baik hati... bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita di tanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar , Yang Maha Kuat , Yang Maha Agung... Allah swt...



Wallahu`alam

Thursday 21 May 2015

HATI

HATI YANG MUSTAJAB





Manusia mungkin tersilap penelitian. Ramai di kalangan kita tersalah sangka dalam pada ingin memohon sesuatu kepada Yang Maha Esa, kita sering mencari ustaz/ ustazah, teks-teks doa, menunggu waktu-waktu tertentu atau menziarahi tempat-tempat yang berkaitan dengan harapan hajat-hajat ditunaikan. Bukan bererti salah berbuat demikian, namun pada hemat saya, ada suatu perkara yang perlu lebih ditekankan sebelum perbuatan itu kita lakukan. Apakah ia...?


BERDOA...!



Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Abu Abdullah Al-Hakim dalam Kitab Mustadrak Al-Hakim, ada perkara yang boleh kita ambil dari sudut perlaksanaan doa ketika kita ingin memohon diperkenankan hajat kepada-Nya. Hadis ini biasa di sebut oleh Rasulullah saw ketika mana Baginda saw ditimpa musibah. 


Baginda saw bersabda, "Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba Mu, anak kepada hamba lelaki Mu, dan anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubunku di tangan Mu, berlalulah penentuan Mu terhadapku, hukuman Mu ke atas ku adalah adil. Aku bermohon kepada Mu dengan keberkatan setiap nama Mu yang Engkau namakan pada diri sendiri, atau yang Engkau turunkan dalam Kitab Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada mana-mana dari penciptaan Mu, atau Engkau pendamkan dalam pengetahuan ghaib di sisi Mu, agar Engkau jadikan Al-Quran sebagai peneduh jiwaku, cahaya dalam dadaku, serta penghilang kesedihan dan dukacitaku. (Mustadrak Al-Hakim no.1869)


# hadis ini juga turut dirawayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, tetapi dari sanad (periwayatan) yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Dar-AlQutni kerana terdapat seorang perawi yang tidak dikenali iaitu Abu Salamah.#



HURAIAN HADIS

Berdasarkan kepada hadis tersebut, dapat kita lihat bahawa ketika mana Baginda saw bermunajat kepada Allah sewaktu ditimpa kesusahan, Baginda saw memulakan doa dengan merendahkan diri dengan merasakan diri tidak mampu berbuat apa-apa sebagai hamba melainkan dengan bantuan-Nya. Bahkan turut menggelarkan diri sebagai anak yang datang dari dua hamba iaitu ibu dan bapa yang mana kita tahu proses kejadiannya bermula dari perkara yang hina pada tanggapan manusia.


Begitu sebenarnya permulaan doa bagi setiap manusia. Paling penting dalam berdoa adalah kerendahan hati seseorang itu terhadap Dia yang diminta. Tambahan maksud doa itu sendiri adalah pengharapan dari yang rendah kepada yang lebih tinggi darjatnya di samping mempunyai tujuan yang satu iaitu merasai takut yang membawa kepatuhan pada Allah semata-mata yang tanpa ada berbelah bagi kepada sesiapa pun jua.


Jika seorang insan itu hanya mencari teks-teks doa yang diyakini berkesan, maka kadangkala proses itu memakan masa dan mungkin setelah ia dijumpai perlu pula dihafal dan diingati untuk diamal dalam kehidupan sehari-hari.


Jika seseorang itu hanya mencari waktu-waktu tertentu pula, maka mungkin agak sukar untuk dia menunggu kepada waktu yang disebutkan sebagai waktu yang mustajab. Begitu pula, jika mencari tempat-tempat yang mustajab, boleh jadi dia perlu mengorbankan tenaga, hatta kewangan juga demi untuk menziarahi tempat-tempat tersebut.


Namun, kelebihan bagi mereka yang mendapatkan hati yang mustajab dengan merendahkan diri di hadapan Yang Esa, maka tidak kiralah apa pun yang dia baca (yang mengikut syara’), pada ketika mana pun dia berdoa, atau dimana-mana sahaja dilafazkan doa, maka dia akan dapati bahawa doanya sebenarnya telah dimakbulkan oleh-Nya.


Oleh yang demikian, seperti yang saya terangkan diatas, bukan salah kita mencari apa-apa bahan bacaan bahkan jika kita mampu maka doa-doa yang ma’thur(berdasarkan hadis-hadis sahih daripada Rasulullah saw) lebih utama untuk kita baca, atau mencari waktu dan tempat mustajab, tetapi hati yang mustajab itu membuka seluasnya ruang kepada manusia dalam rangka berdoa mengharap kepada-Nya.


Ada pun suatu perkara yang perlu kita ambil perhatian, jika kita memuji manusia lazimnya dengan pujian tersebut manusia lebih cenderung untuk memberikan apa yang dia punyai. Namun, Allah tidak begitu kerana kerajaan-Nya sedia hebat. Jika tiada satu makhluk pun yang memuji-Nyam maka Allah tetap hebat dan Allah dengan sifat Pemurah dan Pengasihnya masih akan memberikan manusia nikmat-nikmat-Nya.


Demikian, kita melihat dalam hadis ini yang memuji keadilan, keagungan Allah swt dengan tujuan menampakkan kebesaran Allah kepada manusia yang lemah. Di samping itu, kita juga digalakkan untuk memohon doa menggunakan nama-nama yang telah Dia namakan diri-Nya seperti Al-Ghafur, Ar-Rahim, Al-Aziz dan sebagainya.



PENJELASAN

Suatu perkara yang perlu dijernihkan semula berkenaan mustajabnya doa ini adalah manusia seringkali beranggapan jika makbul (diterima) doa yang dia pinta, maka sesungguhnya doanya mustajab. Tetapi jika sebaliknya, ada manusia yang masih tidak putus-putus berdoa dan ia amatlah baik, namun tidak kurang juga bertindak mengatakan bahawa Allah tidak mengasihi dirinya, tidak adil kerana memberi nikmat kepada mereka yang lain dan sebagainya.


Suatu perkara kita kena ingat adalah mustajabnya doa kita adalah mengikut susunan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang buruk bagi diri kita sebagaimana firman-Nya, “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (QS 2:216)


Segala penyusunan yang manusia buat meski dia anggap yang terbaik untuk dirinya, namun pengetahuan Allah lebih luas dalam segala perkara terutama yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Oleh itu, kadangkala Allah beri apa yang kita tidak pinta dan boleh jadi tidak kita suka namun ia amatlah baik buat diri kita.


Tambahan lagi, jika Allah tangguhkan permintaan kita, sebenarnya Dia ingin kita berterusan meminta kepada-Nya kerana amat menyukai rintihan yang menggambarkan kerendahan hati pada-Nya. Mungkin juga jika Allah makbulkan permintaan kita secara serta-merta kita akan mudah lupa pada-Nya terutama selepas mendapat nikmat. Maka di sini sebenarnya terselit kasih sayang-Nya kepada kita dengan tidak mahu kita berjauhan dengan-Nya.


Selain itu, jika teliti semula, bermula daripada kita dilahirkan hingga apa yang kita ada sekarang telah banyak berlalu nikmat-Nya kepada kita. Bahkan tidak terdaya untuk kita mengekspresiasi rasa syukur atas segala nikmat tersebut. Dalam  masa yang sama, ia tidaklah menghalang kita untuk meminta dan terus meminta kerana sesungguhnya Dia Maha Kaya...



Wallahu`alam

WANITA

GIRL





Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga, tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena. 


Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan. 


Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. 


Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya. 


Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci. 


Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa. 


Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. 


Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya. 


Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. 


Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. 


Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama. 


Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.



Wallahu`alam

AKU DAN WAKTU






Selalu ada beza di antara mimpi dan pencapaian atas sesuatu perkara...



Ada lubang waktu yang tercipta di antara sebab dan munculnya akibat. Dan di antara segalanya itulah, ada banyak perkara yang dapat kita dengar, lihat dan rasakan. 



Ada banyak rasa disana... gembira, bahagia, takut, sedih dan mungkin kehampaan....



Pada akhirnya, setiap manusia mempunyai tempat pelarian yang sama, iaitu Allah swt yang Maha Mulia...



Dan disini, saya hanya belajar untuk mengungkapkan rasa-rasa itu. Belajar membahasakannya dan tidak sekadar memainkan jari diatas papan kekunci...



Inilah cara saya menghubungkan setiap ruang dan lubang waktu yang ada. Inilah wujud lain dari usaha saya dalam merentasi mimpi, doa dan peristiwa...




Wallahu`alam

Wednesday 20 May 2015

UJIAN DAN HALANGAN





Aku mahu sentiasa mencintai, meratapi , menangisi sebuah kehidupan yang pasti ada kesudahan...


Hatiku yang sentiasa di lewati duka dan nestapa, rindu dan bahagia telah meragut segenap jiwaku untuk menanti-Nya...


Kadar sebuah duka yang tidak tertanggung dibayar tunai oleh kasih yang menggunung...


Kudus kasih ini pasti di meterai perpisahan yang hakiki, namun, kukuh cinta ini bertemu Kasih pasti...


Aku tidak akan tega lagi melatah dan meraung sakitnya melukakan segenap jiwa...


Aku akan terus meredah laut duka dan bahagia ini demi cinta-Nya, walau badai lautan menghentam aku karam...


aku lemas...


Namun teguh hati ini tidak meranapkan kecewa kesakitan...


Aku tetap menanti dan menadah cinta-Nya, walau setitik jiwaku hitam kelam...


Jurai air mata ini tidak dapat aku tahan, umpama hujan meratap pilu dosa yang aku lakukan...


Ya Robb...ampunkanlah dan maafkanlah diri hamba Mu yang penuh dosa ini...



Wallahu`alam

Tuesday 19 May 2015

DIA TETAP SEORANG HAWA





Dia tetap seorang hawa...



Dan seorang hawa masih memerlukan seorang adam untuk membimbingnya. tapi bagaimana? si lelaki berfikir sejenak...



Pada pandangannya wanita itu perlu dihormati, bukan sekadar disayangi. hormat itu daripada akal. Sayang itu daripada perasaan. Akal akan sentiasa rasional dan kembali meletakkan sesuatu pada hakikat, pada kebenaran. 
Perasan pula selalu berubah-ubah malah kadang-kala terdorong nafsu.

Dengan menghormati wanita, seorang lelaki telah meletakkan wanita pada satu tahap yang tinggi, yang disarankan oleh Islam. Menyayangi wanita itu pula lebih banyak mudarat dari kebaikan.

Lihatlah anak muda sekarang, mudah benar menghamburkan kata sayang antara lelaki dan perempuan. Lelaki berbangga dapat memiliki seorang perempuan, dan seorang perempuan pula bangga dirinya dimiliki oleh seorang lelaki...

Rendahkah martabat dan maruah wanita sehingga begitu mudah dijinakkan hanya dengan rupa, harta dan kata-kata manis?

Rendahkah nilai wanita jika hanya dimiliki untuk dijadikan lambang kemegahan...?

Tidak. wanita itu mulia. Wanita ada harganya yang tersendiri dan dengan menghormati wanita, harga wanita akan kembali mahal, baik di sisi manusia atau Ilahi...


Sesungguhnya kita adalah makhluk yang hebat dan dengan itu kita penuh sedar bahawa menjadi hebat itu perlu pikul tanggungjawab berat....



Wallahu`alam

Thursday 14 May 2015

AKU HIDUP BAHAGIA

TUJUH RAMUAN UNTUK AKU HIDUP BAHAGIA





Ramuan Pertama...

Aku yakin kepada Allah. Sesungguhnya yakin kepada Allah sepenuhnya menjadi aku tenang menerima apa sahaja ketentuan Allah ke atas diriku. Aku yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untukku. Sekalipun pada zahirnya aku nampak tidak baik...



Ramuan Kedua...

Aku yakin bahawa ketentuan Allah pasti akan terlaksana dan tiada siapa dapat lari darinya. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh menolak ketetapan-Nya. Maka semestinyalah aku redha dengan ketetapan Allah, tidak merintih dan menyesalinya...



Ramuan Ketiga...

Aku yakin bahawa apa yang aku hadapi hari ini merupakan ujian daripada Allah.Kejayaan didalam sesuatu ujian hanya boleh dicapai dengan bersabar serta mengharapkan ganjaran daripada Allah. Dan aku sentiasa meletakkan harapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untukku keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Dengan itu aku tidak di himpit kerisauan dan keluh kesah...



Ramuan Keempat...

Aku yakin bahawa jika aku tidak sabar maka apalah gunanya aku merintih...? Pastinya rintihan hanya akan menambahkan kesedihan, kerisauan dan keluh kesah yang akhirnya membawa padah tidur tidak lena, makan tiada selera dan ibadah tidak bahagia...



Ramuan Kelima...

Adalah tidak mustahil aku akan ditimpa bencana yang lebih teruk daripada apa yang di alami sekarang. Lantaran itu aku bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang aku terima ini Bukankah pepatah ada menyebut, ‘sesiapa yang melihat kesusahan orang lain akan merasa ringan kesusahan yang ditanggungnya’.



Ramuan Keenam...

Musibah yang menimpa diriku bukan pada agamaku. Sesungguhnya yang sebenar-benar musibah itu ialah musibah pada agama iaitu apabila seseorang insan berada didalam kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Adapun musibah yang lain daripada itu, sama ada terhadap harta, anak atau diri sendiri semua itu ringan sahaja. Kesannya pun hanya seketika berbanding dengan musibah pada agama serta kesesatannya. Lantaran itu Rasulullah saw pernah berdoa, “ Wahai Robb-ku, janganlah Engkau jadikan musibah kami ke atas agama kami”

Ramuan Ketujuh...

Dan yang akhir, sesungguhnya aku sedang menanti pertolongan daripada Allah. Dari satu detik ke satu detik kerana sesungguhnya semua urusan itu di tangan Allah. Berterusannya sesuatu keadaan itu adalah sebahagian daripada perkara yang mustahil.

Sekadar pesan buat saudara semuslim...

Sesungguhnya sesiapa yang memelihara Allah, Allah akan memeliharanya. Sesiapa yang bertawakal kepada-Nya, sesungguhnya pertolongan Allah akan tiba. Setiap apa yang ditakdirkan oleh-Nya itulah yang terbaik. Semua kesudahan yang baik adalah untuk mereka yang bertakwa dan tiada permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim...



Wallahu`alam