Powered By Blogger

Friday 20 March 2015

4 IMAM 4 JEMAAH



Syeikh al-Qadhi Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Lawati (704 – 779H / 1304 – 1377M) atau terkenal dengan gelaran Ibnu Battutah rahimahullah dalam catatan perjalanan beliau yang dikenali dengan “Rehlah Ibn Battutah” atau jodol sebenarnya “Tuhfah an-Nuzzar fi ghara`ib al-amsar wa `aja`ib al-asfar” yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Syed Nurul Akla dan Dr. Adi Setia dengan jodol “Pengembaraan Ibn Battutah”, pada halaman 183 – 184 di bawah subtopik “Adat yang diamalkan oleh penduduk Mekah dalam solat dan kedudukan Imam-Imam Mazhab” dinyatakan, antara lain:-


Berbanding dengan 3 orang imam yang lain, imam Mazhab Syafi`e diberikan penghormatan untuk memulakan solat di Maqam yang mulia, iaitu Maqam al-Khalil Ibrahim AS dan di Hatim yang cantik serta khusus untuk beliau. Inilah antara adat dan kebiasaan penduduk Mekah. Imam Mazhab Syafi`e ini dilantik oleh pihak pemerintah. Kebanyakan penduduk Mekah berpegang pada mazhab ini. …………


Apabila imam Mazhab Syafi`e selesai menunaikan solat, imam Mazhab Maliki pula menunaikan solat di sebuah mihrab yang menghala ke Rukun al-Yamani. Imam Mazhab Hambali juga akan mendirikan solat pada waktu yang sama di satu tempat yang menghala ke sebahagian daripada dinding Kaabah, iaitu di antara Hajar al-Aswad dengan Rukun al-Yamani.


Akhir sekali, imam Mazhab Hanafi pula menunaikan solat di satu tempat berhadapan dengan pancuran (mizab), iaitu di bawah satu ruang berpagar yang disediakan untuknya. Lilin akan diletakkan di hadapan imam-imam ini di mihrab mereka semasa mendirikan Solat Subuh, Zuhur, Asar dan Isyak.


Semasa Solat Maghrib, mereka akan bersembahyang serentak dan setiap imam akan bersembahyang dengan pengikut-pengikutnya. Akibatnya, orang ramai menjadi keliru. Adakalanya seseorang yang bermazhab Maliki akan rukuk bersama-sama dengan imam Mazhab Syafi`e dan seseorang yang bermazhab Hanafi pula menurut sujud pengikut Mazhab Hambali. Kamu dapat melihat mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada suara muazzin yang memperdengarkan bacaan kepada pengikutnya supaya mereka tidak lalai dan membuat kesilapan.


Begitulah keadaan solat di Masjidil Haram yang disaksikan oleh Ibnu Battutah yang hidup pada kurun yang ke-8H. Keadaan tersebut berterusan ratusan tahun lagi sehinggalah kejatuhan Kekhalifahan Utmaniyyah Turki dan Hijaz dijajah oleh puak Wahabi dari Nejd.


Kenapa umat Islam pada masa tersebut dan ratusan tahun setelahnya, tidak bersolat di bawah seorang imam dalam Masjidil Haram yang mulia. Adakah kerana mereka tidak bersatu dan kerana mereka terlalu taksub dengan mazhab masing-masing? Sesungguhnya tidak, tetapi kerana mereka tidak bersikap taksub dan fanatik dengan mazhab masing-masinglah maka perkara tersebut terjadi. Ini jelas kerana setiap mazhab tidak saling menyalahkan antara sesama mereka, mereka saling hormat menghormati pendapat pihak lain selagimana ia berdasarkan kepada ijtihad yang diterima dan mereka tidak ingin hendak memaksa mazhab mereka kepada orang lain. Dan hal ini terjadi di Masjidil Haram kerana ia adalah milik umat Islam keseluruhannya, Tanah Haram bukan milik pengikut Mazhab Syafi`e, walaupun mazhab ini adalah mazhab yang paling dominan di Hijaz. Maka atas adab dan tasamuh yang tinggi, para penguasa Hijaz yang bermazhab Syafi`e tidak memaksa mazhab mereka kepada pengikut mazhab lain, sebaliknya setiap mazhab Ahlu Sunnah wal Jamaah diberi ruang untuk beribadah dalam Masjidil Haram mengikut pandangan dan pegangan mazhab masing-masing.


Patutkah kita memaksa para pengikut Hanafi untuk sembahyang Asar bersama dengan kita sedangkan menurut mazhab mereka waktu Asar masih belum masuk lagi? Sudah tentu tidak patut dan tidak adil bagi mereka. Yang patut dan wajar, kita biarkan mereka menunaikan solat Asar setelah masuk waktunya di sisi mereka. Sungguh keberadaan solat 4 Imam dengan jemaah masing-masing tersebut membuktikan sikap tasamuh dan toleransi sesama umat yang tinggi. Malangnya, segelintir dari kita telah silap kerana beranggapan bahawa ia sebagai tanda ummah berpecah belah.


Apakah benar ketika itu umat Islam menjadi berpecah-belah? Jawapannya adalah sebaliknya, kerana sejarah telah membuktikan bahawa ketika itu, umat Islam adalah umat yang bersatu dan kuat sehingga menguasai dunia.
Lain pula halnya sekarang ini, walaupun umat Islam bersolat di Masjidil Haram di bawah seorang imam sahaja yang pada zahirnya nampak bersatu tetapi hati-hati mereka telah berpecah belah dengan saling salah menyalah sesama umat. Kesatuan dan perpaduan itu berakhir dengan salamnya imam… Allahu … Allah. Oleh itu, kekuatan umat Islam adalah pada kepelbagaian pendapat yang ditangani dengan sikap tasamuh yang tinggi serta saling hormat-menghormati. Di situlah kunci perpaduan yang sejati.


Ketahuilah bahawa Masjidil Haram itu milik seluruh umat. Mungkin sekarang sudah tidak praktikal untuk solat dengan 4 jemaah berasingan sebagaimana zaman tersebut kerana bilangan pengunjung masjid yang bertambah. Moga umat Islam hari ini akan menjadi lebih bertasamuh dalam perkara-perkara khilafiyyah. Mudah-mudahan keagungan Islam dan umatnya dikembalikan dan Islam terus menerajui manusia sejagat …. Wallahu`alam. 

Jagalah Hati...

DAKWAH ADALAH CINTA


Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?


Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”


Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.


Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.


Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Pendakwah Akal Faqih.


Bagi kita yang berperanan sebagai Pendakwah, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi saw untuk para Pendakwah.


Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda saw menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi,  “Seek First  to Understand, Then to be Understood“.


Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.


Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Pendakwah tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.


Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar, iaitu masalah sikap dan akhlak.


Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadis kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadis.


Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…”


Seorang Pendakwah yang berjiwa Pendakwah akan belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dia bawa.


Mari kita semua bermenung di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan ‘usrah’ kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?



Jagalah Hati....

YA ALLAH

Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan" ( Al-Fatihah:5)


Apabila musafir tersesat di tengah hutan belantara, dan kebingungan mencari jalan, mereka akan berseru, “Ya Allah!”

Apabila nelayan melihat lautan bergelombang, ombak bergemuruh, dan badai kencang menerjang, dia akan berteriak, “Ya Allah!”

Apabila pendaki, kelelahan menaiki gunung, kekurangan makanan dan minuman, tidak tahu lagi apa yang harus di perbuat, dia akan berteriak, “Ya Allah!”

Apabila pencari kerja tidak mendapatkan pintu yang terbuka, para penjual tidak mendapatkan rumah yang mahu menerimanya, mereka akan berteriak, “Ya Allah!”

Apabila lelaki di tolak lamarannya atau wanita melihat idaman hatinya berkahwin dengan orang lain, mereka akan berseru, “Ya Allah!”

Apabila fikiran sudah buntu, jalan terasa menyempit, harapan menjadi kosong, mereka akan berteriak, “Ya Allah!”

Apabila orang tertimpa musibah, kemalangan, malapetaka dan kesedihan, si hamba itu akan menyebut “Ya Allah!”

Hanya Allah tempat di panjatkan doa, tempat mengadu, tempat mencurahkan kekecewaan hati, dan tempat meminta pertolongan

Dengan menyebut nama Nya, hati menjadi damai, jiwa terasa tenang, perasaan menjadi tenteram, fikiran menjadi santai, dan keyakinan menjadi mantap.

“ Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka itu dari Allah, dan bila kamu ditimpa keburukan, maka hanya kepada Allah jua kamu meminta pertolongan” (An-Nahl : 53 )

“ Katakanlah : Allah menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala macam kesusahan…” ( Al An’aam:64)

“ Atau siapakah yang mengabulkan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila berdoa kepada Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu sebagai pemimpin di bumi? Apakah ada Robb selain Allah? Sedikit sekali kamu memperhatikannya.” ( Q.s an-Naml:62)

“Ya Allah, aku memohon kepada Mu keteguhan dalam segala urusan
Dan aku memohon kepada Mu sikap lurus dan terpimpin.
Dan aku memohon kepada Mu agar aku dapat mensyukuri nikmat Mu
serta berbakti kepada Mu dengan sebaik-baiknya.
Aku memohon kepada Mu lisan yang benar, hati yang bersih.
Dan aku berlindung kepada Mu dari kejahatan apa-apa yang Engkau ketahui,
dan aku memohon kepada Mu dari kebaikan apa-apa yang Engkau ketahui
dan aku memohon ampunan dari apa-apa yang Engkau ketahui, kerana sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib.”

Siapakah yang dapat menjadi sandaran kita ketika sedih? Kepada siapakah kita meminta pertolongan saat kita kesempitan? Siapakah tempat bergantung dan tempat meminta bagi seluruh manusia? Jawabannya hanya satu, Dialah Allah, tiada Robb selain Dia.

Kita boleh berdoa kepada Nya, kita mempunyai hak untuk meminta kepada Nya, baik saat sukar mahupun saat senang, saat suka mahupun sedih. Kita boleh memohon dengan penuh harapan kepada Nya, saat kesedihan yang mendalam menimpa kita seraya menjatuhkan diri di hadapan Nya. Saat itu akan datang pertolongan Nya dan segera sampai bantuan Nya.

Allah akan senang kalau kita sebagai hamba ingat kepada Nya dalam semua keadaan, baik senang mahupun susah. Allah akan membantu dan memberikan lebih banyak rahmat dan rezeki. Tetapi Allah akan tetap menerima, apabila dalam keadaan senang menjadi lupa, kemudian saat susah menjadi ingat. Kita boleh meminta pertolongan kepada Nya saat kesulitan menghalang gerak langkah kita. Namun orang yang paling baik adalah orang yang selalu ingat Allah baik dikala senang mahupun di kala susah.

Hanyalah Allah yang mampu menyelamatkan orang yang akan tenggelam, menolak sesuatu yang tidak seharusnya terjadi, membantu orang yang terkena ujian, menolong orang yang teraniaya, memberi petunjuk orang yang tersesat, menyembuhkan orang sakit, dan melepaskan seseorang dari kesulitan yang dihadapinya. Kita dapat bermunajat, menyebut nama Nya, berdoa tiada henti, maka kesedihan akan luntur, duka cita akan terhapus. Setiap tali akan putus kecuali tali Nya. Setiap pintu akan tertutup kecuali pintu Nya. Dia Maha Dekat, Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan doa. Allah akan memberikan apa yang diminta oleh orang yang meminta.

Kita ini lemah, kita tidak mampu mengubah keadaan, tidak mampu menghadapi musibah, bahkan tidak mampu menyelesaikan masalah diri sendiri. Namun ketika kita bertawakal kepada Allah, percaya kepada kekuasaan Nya yang menciptakan kita, kita akan memperolehi kekuatan. Perlu disedari bahawa cepat atau lambat pertolongan Allah tergantung pada kita sendiri, oleh kerana itu, kita pun seharusnya aktif menjemput pertolongan itu. ( pengertian aktif disini, adalah berusaha untuk menyiapkan diri dan melakukan perubahan diri agar pertolongan Allah semakin cepat datang dan semakin besar bentuknya). Seperti halnya landasan pesawat, semakin panjang dan besar landasannya semakin besar pula pesawat yang boleh mendarat. Kalau landasannya tidak rata akan menyulitkan pesawat untuk mendarat. Begitu pula pertolongan Allah. Kalau keimanan dan kemampuan diri kita tidak meningkat akan menyulitkan pula mendaratnya pertolongan Allah.

Sebenarnya, mendapatkan pertolongan Allah itu mudah. Dalam logik akal manusia, telah kita ketahui ada hukum sebab akibat. Kita ingin sesuatu maka kita harus melakukan sesuatu. Logik, bukan? Cara paling jitu untuk selalu mendapat pertolongan Allah adalah selalu taat dan ingat kepada Nya. Dalam pasaran pekerjaan, pembantu yang taat menjalankan perintah majikannya tentu berharap mendapatkan imbuhan yang memadai. Majikan yang baik, tentu dengan senang hati memberikan imbuhan kepada pembantu yang patuh itu.

Itu hanya dalam logik manusia, padahal Allah terbebas dari logik akal manusia. Allah Yang Maha Adil pasti akan memberikan jauh lebih banyak lagi. Mudah bagi Allah memberikan apa yang di minta manusia, sepertimana mudah bagi Allah menyingkirkan semua kesulitan manusia. Tidak ada hal yang sukar bagi Allah. Allah memberikan apa yang diminta manusia tanpa beban dan tanpa berkurang sedikit pun ke MahaKuasaan Nya. Kalau kita mahu patuh dengan perintah Nya, maka kita akan jauh lebih mudah mendapatkan pertolongan Nya….

Wassalam.

Jagalah hati...

PUASA SI MISKIN

Antara pelajaran yang paling memberikan pengajaran padaku dalam meniti perjalanan hidup ini...


Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun: 

"Mana emak? " "Mak pergi menoreh," jawabnya. "Mana bapak?" "Bapak pergi kerja..." "Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan. 

"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan. "Awak ada berapa orang adik-beradik? " "Sepuluh." "Adik ni yang ke berapa?" "Saya yang kelapan." "Mana abang-abang kamu pergi?" "Tolong emak menoreh." "Adik puasa hari ini?" "Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..."Jawabnya. 

Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu. Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?" "Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..". "Bapak kerja apa?" "Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk". 

Budak itu memberitahu, lebih baik bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. 

Aku berlalu dari situ dengan seribu satu keinsafan. Kebetulan disimpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. 

Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. 

Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. 

Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: 

Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu. 

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah pakcik.." 

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? 

Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. 

Dia berkata "Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat." Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?" "Cuma RM3.00 sehari." "Ayahnya bekerja macam mana" "Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari." 

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah.. 

Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? 

Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalaupun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita. 

Mudah-mudahan menjadi tauladan bagi kita dan hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada pada kita. Hidup kita susah hidup orang lebih lagi....  

HATIKU BUAT SAUDARA SEAKIDAH


Renungkanlah pendeknya umur kita. Andaikata kita berumur seratus tahun sekalipun, maka umur itu masih pendek jika dibandingkan dengan masa hidup di akhirat kelak yang abadi…selama-lamanya. Cuba renungkan, kita sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia, tetapi mengapa kita tidak sanggup menanggung beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?
Usahlah memanjangkan angan-angan, nanti kita akan merasa berat untuk beramal. Yakinlah bahawa tidak lama lagi kita akan mati. Katakanlah dalam hati, “Pagi ini aku akan beribadah meskipun berat, siapa tahu malam nanti aku mati. Malam ini aku akan sabar untuk beribadah, siapa tahu esok aku mati”.
Sebab, kematian tidak datang pada waktu, keadaan dan tahun tertentu. Yang jelas ia pasti datang. Oleh itu, mempersiapkan diri menyambut kedatangan maut lebih utama daripada menpersiapkan diri menyambut dunia. Bukankah kita menyedari betapa pendek waktu hidup di dunia ini? Bukankah mungkin terjadi, ajal kita hanya tersisa satu tarikan dan hembusan nafas atau satu hari?
Setiap hari lakukanlah hal ini dan paksakan diri kita untuk sabar beribadah kepada Allah swt. Andaikata kita ditakdirkan untuk hidup selama lima puluh tahun dan  kita biasakan diri untuk sabar beribadah, nafsu kita tetap akan memberontak, tetapi ketika maut datang menjemput, kita akan berbahagia selama-lamanya. Tetapi, jika kita suka bertangguh-tangguh dalam mengerjakan amal, dan kematian datang di waktu yang tidak kita ramalkan. Bagaimanakah rupanya kesudahan kita?
Jika kita telah berusia empat puluh tahun, maka segeralah untuk memperbanyakkan amal soleh siang mahupun malam. Sebab, waktu pertemuan kita dengan Allah ‘Azza wa Jalla semakin dekat. Ibadah yang dikerjakan saat ini tidak mampu menyamai ibadah seorang pemuda yang tidak mensia-siakan masa mudanya. Bukankah selama ini kita telah sia-siakan masa muda dan kekuatan jasmani? Andaikata saat ini kita ingin beramal sekuat-kuatnya, tenaga kita sudah tidak kuat lagi. Oleh itu, beramallah sesuai dengan keupayaan dan kekuatan diri.
Perbaikilah masa lalu kita dengan banyak berzikir, sebab tidak ada amal yang lebih mudah dari zikir. Zikirullah dapat dilakukan ketika berdiri, duduk, berbaring mahupun sakit. Zikir adalah ibadah yang paling mudah. Rasulullah saw bersabda “Dan hendaklah lisanmu basah dengan berzikir kepada Allah swt”
Bacalah secara istiqamah doa dan zikir apa pun yang mudah bagi kita. Pada hakikatnya, kita dapat berzikir kepada Allah swt adalah kerana rahmat dan kebaikan Nya jua…
 Ketahuilah, sebuah umur yang awalnya hidup dalam kelalaian, janganlah pula sisa umur itu disia-siakan manfaatnya. Jika seorang ibu memiliki sepuluh anak dan sembilan di antaranya meninggal dunia. Tentu ia akan lebih mencintai satu-satunya anak yang masih hidup itu...
Jujurnya, kita telah mensia-siakan sebahagian besar umur. Oleh itu jagalah sisa umur kita yang sangat sedikit itu. Demi Allah, sesungguhnya umur kita bukanlah umur yang dihitung sejak kita  dilahirkan, tetapi umur kita dihitung sejak hari pertama kita mengenal Allah swt.
Seseorang yang telah mendekati ajalnya dan ingin memperbaiki segala kekurangan diri di masa lalu, hendaknya ia banyak membaca zikir yang ringkas tetapi berpahala besar.  Zikir semacam itu akan membuat sisa umur yang pendek menjadi panjang, seperti zikir yang berbunyi, “Maha suci Allah yang Maha Agung dan segala puji bagi Nya, ( kalimat ini ku ucapkan ) sebanyak jumlah ciptaan Nya, sesuai dengan yang ia sukai, seberat timbangan Arsy Nya dan setara dengan jumlah kata-kata Nya”.
Jika sebelumnya kita sedikit melakukan solat serta puasa sunat, maka perbaikilah kekurangan itu dengan banyak berselawat kepada Rasulullah saw.
Andaikata sepanjang hidup ini kita melakukan segala jenis ketaatan, tetapi kemudiannya Allah swt berselawat kepada kita sekali saja, maka satu selawat Allah ini akan mengalahkan semua amal kita selama hayat ini! Sebab, kita berselawat kepada Rasulullah saw sesuai dengan kekuatan kita, sedangkan Allah swt berselawat kepada kita sesuai dengan kebesaran Nya. Ini jika Allah swt berselawat kepada kita sekali, lalu bagaimana jika Allah swt membalas setiap selawat kita dengan sepuluh selawat sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis Shahih Subhanallah!!!
Betapa indah hidup ini jika kita isi dengan ketaatan kepada Allah swt, dengan berzikir kepada Nya dan berselawat kepada Rasulullah saw.
Semoga kita sama-sama dapat mengambil manfaat, dan sesungguhnya,  “Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul”. (QS: Al Israa' : 15)
Jagalah hati…
Wallahu`alam.

ISTIQAMAH BESERTA IKHLAS


Berhati-hatilah bagi orang yang ibadahnya tidak istiqamah, kerana perbuatan tersebut merupakan tanda-tanda keikhlasannya belum sempurna. Ibadah yang dilakukan secara sementara tiada lain ukurannya, melainkan kerana urusan duniawi. Ia hanya dilakukan ketika sedang duka, sedang dilanda musibah, atau sedang disempitkan oleh ujian dan kesusahan, maka meningkatlah amal ibadahnya. Tapi, ketika pertolongan Allah datang, kemudahan menghampiri, kesenangan berlimpahan, maka keinginannya untuk bersenang-senang bersama Allah jadi menghilang. 

Bagi yang amalnya bersifat selektif, contohnya seperti ketika menjelang pernikahan tiba-tiba saja ibadah si hamba jadi meningkat, solat wajib tepat waktu, tahajud nampak khusyuk. Anehnya ketika telah di ijab kabulkan, jangankan tahajud, solat subuh pun terlambat. Ini perbuatan yang memalukan. Sudah diberi kesenangan, tetapi melalaikan perintah Nya. Seharusnya setelah bergelar suami atau isteri,usaha lebih gigih lagi dalam bertaqarrub kepada Allah sebagai bentuk ungkapan rasa syukur. 

Ketika berwuduk, misalnya, jika disamping kita ada seorang ulama yang cukup terkenal dan disegani, maka wuduk kita pun secara sedar atau tidak, tiba-tiba dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Lain pula halnya ketika tidak ada sesiapa pun yang melihat, maka wuduk kita pun kembali dilakukan dengan seadanya, malah sembrono. 

Atau ketika menjadi imam solat, bacaan Quran kita kadangkala digetar-getarkan atau disedih-sedihkan agar orang lain ikut sedih. Tapi sebaliknya ketika solat sendirian, solat kita menjadi sepantas kilat,ringkas dan cepat.
Hati-hatilah dalam beribadah kepada Nya. Perhatikanlah amal-amal yang kita lakukan, adakah jadi lemah, kurang berkualiti dan tidak bersungguh ketika diberi kesenangan? Jika YA, maka itulah tanda bahawa kita kurang ikhlas dalam beramal.

Hal ini berbeza dengan hamba-hamba Nya yang telah menggapai tingkat ikhlas, makam di mana seorang hamba mampu beribadah secara istiqamah dan terus-menerus berkesinambungan. Ketika diberi kesusahan, dia akan segera saja bersimpuh sujud merindukan pertolongan Allah. Dan ketika diberi kelapangan dan kesenangan, ia semakin bersimpuh dan bersyukur lagi atas nikmat Nya itu. 

Orang-orang yang ikhlas adalah orang yang kualiti beramalnya sama saja, sama ada, ada atau tiada orang yang memperhatikannya. Berbeza dengan orang yang kurang ikhlas, ibadahnya akan dilakukan lebih baik ketika ada orang lain memperhatikannya, apatah lagi bila orang tersebut dihormati dan disegani. 


Sungguh suatu keuntungan yang sangat besar bagi orang-orang yang ikhlas ini. Betapa tidak? Orang-orang yang ikhlas akan sentiasa dianugerahkan pahala, bahkan bagi orang-orang ikhlas, amal-amal mubah pun pahalanya akan berubah jadi pahala amalan sunat atau wajib. Hal ini akibat niatnya yang bagus. 

Maka, bagi orang-orang yang ikhlas, dia tidak akan melakukan sesuatu kecuali ia kemas niatnya lurus kepada Allah saja. Kalau hendak duduk di kerusi diucapkannya, "Bismilahirrahmanirrahiim, ya Allah semoga usaha hamba untuk duduk ini menjadi amal kebaikan". Lisannya yang tulus sentiasa memuji Allah atas nikmatnya berupa kurniaan mampu untuk duduk sehingga ia dapat beristirehat menghilangkan kepenatan. Jadilah aktiviti duduk itu sebagai taqarrub kepada Allah.

Kerana ramai orang yang melakukan aktiviti duduk, namun tidak mendapatkan pertambahan nilai apapun, selain hanya meletak (maaf!) punggung di kerusi. Tidak perlu dihairankan jika suatu masa nanti Allah memberi peringatan dengan sakit bisul. Hanya sekadar ingatan, bahawa aktiviti duduk pun adalah anugerah nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. 

Begitu juga ketika makan, sempurnakan niat dalam hati, sebab sudah seharusnya di lubuk hati yang paling dalam kita meyakini bahawa Allah jua yang memberi makan setiap hari, tiada satu hari pun yang luput dari limpahan curahan nikmat Nya. 

Kalau membeli sesuatu, sematkan dalam ingatan bahawa apa yang dibeli diniatkan kerana Allah. Ketika membeli kenderaan, niatkan kerana Allah. Kerana menurut Rasulullah saw, kenderaan itu ada tiga jenis, 1) Kenderaan untuk Allah, 2) Kenderaan untuk syaitan, 3) Kenderaan untuk dirinya sendiri. Apa cirinya? Kalau niatnya benar, dipakai untuk keperluan ibadah, agama dan mencari rezeki maka inilah kenderaan untuk Allah. Tapi jika sekadar untuk dipamerkan, riak serta ujub, maka inilah kenderaan untuk syaitan. Manakala kenderaan untuk dirinya sendiri, contohnya memelihara kuda, ia dikembangbiakan, dipelihara tanpa niat, maka inilah kenderaan untuk diri sendiri. 

Pastikan bila kita membeli kenderaan, niat kita tiada lain hanyalah kerana Allah. Oleh itu, bermohonlah kepada Allah, "Ya Allah, saya perlukan sebuah kenderaan yang sesuai, yang boleh meringankan saya untuk menuntut ilmu, yang mampu meringankan saya untuk berbuat amal,yang boleh meringankan dalam menjaga amanah". Subhanallah bagi orang yang telah berniat seperti ini. Maka, semua komponen dari kenderaan itu ada dalam timbangan kebaikan, insya Allah. Sebaliknya jika digunakan untuk maksiat, maka kita juga yang akan menanggungnya. 

Keajaiban lain dari seorang hamba yang ikhlas adalah memperolehi pahala amal, walaupun sebenarnya belum menyempurnakan amal tersebut, bahkan belum mengamalkanya. Inilah istimewanya amalan orang yang ikhlas. Suatu saat hati sudah berniat mahu bangun malam untuk tahajud, "Ya Allah, saya ingin bertahajud, bangunkan saya pukul 3.00 pagi ya Allah". Jam loceng pun dikunci, isteri pula turut dipesan, "Dinda, kalau dinda bangun dulu, kejutkan sama abang. Jam 3.30 pagi nanti kita sama-sama tahajud ya! Ya Allah, saya ingin bersujud kepada Mu di waktu makbulnya doa". Berdoa dan tidurlah ia dengan tekad bulat akan bangun tahajud. 

Sayangnya, ketika terjaga, azan subuh sudah berkumandang. Bagi hamba yang ikhlas, dia akan gembira bercampur sedih. Sedih kerana tidak dapat solat tahajud dan gembira kerana ia masih ada bahagian dari pahala niatnya. Bagi orang yang sudah berniat untuk tahajud dan tidak dibangunkan oleh Allah, maka kalau ia sudah bertekad, Allah pasti akan memberikan pahala. Mungkin Allah tahu, hari-hari yang kita lalui akan memerlukan banyak tenaga. Allah Maha Tahu apa yang akan terjadi, Allah juga Maha Tahu bahawa kita mungkin telah keletihan seharian kerana penuh dengan aktiviti. Hanya Allah jualah yang menidurkan kita dengan nyenyak... 

Sungguh apapun amal yang dilakukan seorang hamba yang ikhlas akan tetap bermakna, akan tetap bernilai, dan akan tetap mendapatkan balasan pahala yang setimpal. Subhanallah…!!!


Jagalah hati…

PINTU REZEKI

Ingin kaya harta dan pahala?


1. MEMPERBANYAK ISTIGHFAR.

Allah swt berfirman: “Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Robb mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, membanyak harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Qs. Nuh: 10-12)

Al-Qurtubi berkata, “Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahwa istighfar merupakan salah satu cara diturunkan rezeki dan hujan.

Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa memperbanyak istighfar (memohon ampun pada Allah), nescaya Allah menggantikan setiap kesempitan menjadi jalan keluar, setiap kesedihan menjadi kelapangan dan Allah akan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” ( Abu Daud)


2. BERTAKWA KEPADA ALLAH

Allah berfirman: “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (Qs. Ath-Thalaq: 2-3).

Ibnu Katsir berkata, “Maknanya, barangsiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yang diperintahkan Nya dan meninggalkan apa yang dilarang Nya, nescaya Allah akan memberinya jalan keluar, serta rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, yakni dari arah yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.”


3. BERTAWAKAL KEPADA ALLAH

Nabi Muhammad saw bersabda, “Sungguh, seandainya kalian betawakkal kepada Allah  dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezeki burung-burung, mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar, dan pulang  di petang hari dalam keadaan kenyang.” (Ahmad dan Tirmizi)


4. RAJIN BERIBADAH

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah berfirman, “Wahai anak Adam!, beribadahlah sepenuhnya kepada Ku, nescaya Aku penuhi (hatimu) di dalam dada dengan kekayaan dan Aku penuhi keperluanmu. Jika kalian tidak lakukan yang sedemikian, nescaya Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan tidak aku penuhi keperluanmu (kepada manusia).” ( Tirmizi, Ahmad, dan Ibnu Majah).


5. HAJI DAN UMRAH

Firman Allah swt, “Lakukanlah haji dan umrah, kerana sesungguhnya keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa, sebagaimana api dapat menghilangkan karat besi, emas, dan perak. Dan tidak ada pahala haji yang mabrur kecuali syurga.” (Ahmad, Tirmizi, dan An-Nasa`i).


6. MENJAGA SILATURAHIM

Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaknya ia menyambung (tali) silaturahim.” (Bukhari).


7. BANYAK BERSEDEKAH

Allah berfirman, “Katakanlah: ‘Sesungguhnya Robb ku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki Nya di antara hamba-hamba Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki Nya)’, dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Qs. Saba`: 39).

Rasulullah saw bersabda dalam hadis Qudsi, “Wahai anak Adam, bersedekahlah, nescaya Aku memberi rezeki kepadamu.” (Abu Daud).

8. MEMBANTU PENUNTUT ILMU
Disebutkan sebuah kisah, “Dahulu ada dua orang saudara pada masa Rasulullah saw. Salah seorang daripadanya mendatangi nabi dan (saudaranya) yang lain bekerja. Lalu saudaranya yang bekerja itu mengadu pada nabi, maka Baginda saw bersabda, “Mudah-mudahan engkau diberi rezeki dengan sebab dia.” (Tirmizi, Hakim).

9. MEMBANTU ORANG LEMAH
Rasulullah saw bersabda, “Bantulah orang-orang lemah, kerana kalian diberi rezeki dan ditolong lantaran orang-orang lemah di antara kalian.” (Muslim dan An-Nasa`i).

10. BERHIJRAH
“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (Qs. An-Nisa`: 100).

Moga kita sama-sama mengambil manfaat dan diberikan kemudahan oleh Allah untuk melakukannya dengan istiqamah…
Jagalah hati…
Wassalam.

15 Seksaan Di Dunia

Rasulullah swt bersabda yang bermaksud: "Sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia kafir yang nyata." Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berfatwa tidak wajib menyembahyangkan jenazah seseorang yang meninggal dan mengaku Islam, tetapi tidak pernah mengerjakan solat. Malah, ada yang mengatakan haram menyembahyangkan individu berkenaan. Seksaan dan azab bagi orang yang lalai serta meninggalkan solat seperti sabda Rasulullah SAW: "Siapa meringan dan melalaikan solat lima waktu yang difardukan ke atasnya, akan menerima seksaan atau azab Allah dengan 15 azab." Enam daripada seksaan itu diterima di dunia, tiga ketika hampir ajalnya, tiga ketika berada di dalam kubur dan tiga lagi ketika berjumpa Allah pada hari kiamat. Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah seksaan ketika di dunia?" Jawab Baginda: Hilang berkat umurnya (hidup percuma dengan kekosongan, jika hidup mewah, kemewahan itu hanya istidraj belaka). Hilang keberkatan rezekinya (rezekinya terbuang sia-sia, walaupun kaya, tetapi kekayaan itu menjadi laknat ke atasnya). Dihilangkan Allah tanda salih pada mukanya. Tidak diakui masuk golongan Islam (zahirnya saja Islam tetapi batinnya munafik, malah dia termasuk golongan munafik). Segala amal baiknya (sedekah dan sebagainya) tidak diberi ganjaran. Doanya ditolak Allah. Hadis riwayat Ibnu Abbas, katanya: “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: "Bermula orang meninggalkan solat itu, bukanlah dia daripada golongan Islam. Allah tidak terima tauhid dan imannya dan tidak ada faedah sedekah, puasa dan syahadatnya." Kemudian bertanya lagi sahabat: "Ya Rasullullah SAW, apa pula seksaan yang akan diterimanya ketika hampir ajalnya?" Jawab Baginda: Adalah matinya dalam kehinaan iaitu, rohnya dicabut dengan kasar dan tidak ada belas kasihan. Matinya juga dalam kelaparan, bukan kerana tiada makanan, tetapi nafsunya tiada lagi, perut lapar tetapi tidak dapat makan sesuatu kerana sakit ketika roh akan keluar. Matinya juga dalam kehausan, malah jika diberi minum air dari semua lautan di dunia ini tidaklah memberi apa-apa kesan pada dahaganya ketika sakaratul maut. Sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah SAW, apa pula seksaan di dalam kuburnya?" Rasulullah SAW bersabda: "Disempitkan Allah kuburnya, digelapkan Allah kuburnya, dan akan diperintahkan Allah beberapa malaikat menyeksanya hingga hari kiamat tanpa henti." Ada riwayat menyatakan, orang yang meninggalkan solat, akan Allah hantarkan kepadanya seekor ular besar bernama Suja'ul akra', yang matanya daripada api, mempunyai tangan dan berkuku besi, dengan membawa alat pemukul dari besi berat. Ia akan berkata, kepada si mati dengan suaranya bagai halilintar: "Aku disuruh oleh Allah memukul engkau sebab meninggalkan solat dari Subuh hingga Zuhur, kemudian dari Zuhur ke Asar, dari Asar ke Maghrib dan dari Maghrib ke Isyak hingga Subuh." Lalu Suja'ul akra' terus memukul mayat orang yang meninggalkan solat dan setiap kali dipukul, mayat itu terbenam ke dalam bumi beberapa ratus hasta. Kemudian dikeluarkan mayat itu dengan kuku besinya lantas ditanya lagi dan dipukul lagi hingga hari kiamat. Sahabat bertanya lagi: "Ya Rasulullah SAW, bagaimanakah keadaan orang yang meninggalkan solat ketika di depan Allah?" Jawab Baginda: "Ketika bertemu Allah pada hari kiamat kelak, datang malaikat menyeksanya dengan rantai panjang. Rantai itu diikat ke leher orang yang meninggalkan solat serta dimasukkan ke mulutnya dan dikeluarkan melalui duburnya. Kemudian rantai itu ditarik dan disentap. "Malaikat yang menghelanya berteriak: Inilah balasan bagi orang meninggalkan solat yang difardukan. Kemudian orang itu ditarik serta dilemparkan ke neraka bernama Saqar." Kedua, ketika berjumpa Allah, orang yang tidak menunaikan solat tidak akan mendapat keampunan Allah. Ketiga, ketika dibangunkan semula pada hari kebangkitan, Allah tidak menaruh rahmat dan belas kasihan kepadanya. Firman Allah bermaksud; "Mereka yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsu kepada kejahatan, maka tetaplah mereka jatuh ke dalam satu telaga api neraka." (Surah Maryam, ayat 59).   Foto ini adalah seorang pemuda berusia 18 tahun yang meninggal di salah satu rumah sakit di Oman. Mayat pemuda tersebut digali kembali dari kuburnya setelah 3 jam di makamkan yang di saksikan oleh ayahnya. Pemuda tersebut meninggal dirumah sakit dan setelah di mandikan di makamkan secara islam di hari itu juga. Tetapi setelah pemakaman ayahnya merasa ragu atas diagnosa dokter dan menginginkan untuk di identifikasi kebenaran penyebab kematiannya. Seluruh kerabat dan teman-temannya begitu terkejut saat mereka melihat kondisi mayat. Mayat tersebut begitu berbeda dalam 3 jam. Dia berubah tampak ke abu-abuan seperti orang yang sudah tua. Dengan tampak jelas bekas siksaan dan pukulan yang amat keras dan dengan tulang-tulang kaki dan tangan yang hancur begitu juga ujung-ujungnya sehingga menekan kebadannya. Seluruh badan dan mukanya memar. Matanya yang terbuka memperlihatkan ketakutan, kesakitan dan keputus-asaan. Darah yang begitu jelas menandakan bahwa pemuda tersebut sedang mendapatkan siksaan yang amat berat. Abu-Laits berkata: "Siapa yang ingin selamat dari siksaan kubur maka harus menlazimi empat dan meninggalkan empat iaitu: Menjaga sembahyang lima waktu  Banyak bersedekah  Banyak membaca al-quran  Memperbanyak bertasbih (membaca: Subhanallah walhamdulillah wal'aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah) Semua yang empat ini dapat menerangi kubur dan meluaskannya. Adapun empat yang harus ditinggalkan ialah Dusta  Kianat  Adu-adu  Menjaga kencing, sebab Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (Yakni hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)